We Are Bicentennial!

Sedar tak sedar, pipa di dunia fana sudah pun mencapai artikel yang ke-200!

Ini adalah satu titik penting yang sangat membanggakan bagi penulis, kerana ia bermula dengan sesuatu yang minimal – catitan kendiri di nota-nota dan notepad iPhone ketika mula belajar mengenal pipa dan dunia tembakau seketika dahulu. Dari situ, penulis berkongsi sedikit pengetahuan dari pembacaan yang ditambah dengan coretan-coretan ikhlas akan pengalaman sendiri dengan rakan-rakan di dalam beberapa chatgroup kumpulan pipa tempatan. Tidak lama kemudian ia mulai mendapat sambutan rakan pemipa, dan saudara Norman dari Kelantan telah mencadangkan yang penulis mengumpulkan kesemuanya di dalam sebuah blog. Maka dengan itu terhasil lah pipa di dunia fana.

Sememangnya penulisan pipa di dunia fana adalah lebih bersifat “opinionated” berbanding akademia – di mana banyak pandangan dan kecenderungan hasil perkongsian penulis dan pembaca dipersembahkan di dalamnya. Ini bermakna ia menyulam fakta-fakta perpipaan bersama dengan info dari hasil perbincangan dan perbualan setempat bersama rakan-rakan perpipaan lain, ceritera dan hikayat dari golongan pemipa veteran yang sangat penulis hormati, idea dan cetusan nurani dari aspirasi pemipa muda dan pengalaman-pengalaman kolektif masyarakat pemipa kita. Minat yang mendalam di dalam arena ini ditambah pula dengan masa terluang yang penulis ada ketika bekerja di perantauan, memungkinkan artikel-artikel ini dicoret dan disimpan. Dan apabila tiba masanya, ia diterbitkan di pipa.blog.

Adalah menjadi satu inspirasi penulis untuk belajar dengan lebih jauh lagi, dimana ilmu yang dipelajari harus dikongsi demi penambah-baikan terhadap permasalahan yang dikaji. Oleh kerana itulah penulisan artikel-artikel ini bukanlah disiapkan secara sekali hadap. Hampir kesemuanya dibangunkan dari rangka asas ke atas idea yang datang, dan kemudiannya penulis membuat lebih kajian untuk membangunkan artikel tersebut dari satu ke satu aspek, dan ia disimpan kembali. Ini memungkinkan yang setiap artikel masih boleh ditambah-baik, diperbetulkan dan disudahkan apabila penulis berpuas hati dengan pembawaan, isi dan halatuju artikel-artikel tersebut.

Penggunaan gaya bahasa yang mungkin agak meleret dan terkadang agak berbunga adalah sesuatu yang agak trivial tetapi ia sesuatu yang saya cuba tekankan sehalus mungkin, kerana inilah gaya bahasa Melayu lama kita. Ia mungkin tidak relevan lagi sekarang namun begitulah gayanya jika anda mengkaji kitab-kitab Melayu lama – bahasanya berkias, penuh sopan dan terkadang sinis namun penuh dengan maklumat sama ada tersurat atau tersirat. Bahasa Melayu lama juga banyak perlambangannya, sepertimana gurindam mahu menghiburkan kita akan tetapi melakukannya di dalam tertib yang sangat santun, juga sama seperti ukiran Melayu lama yang penuh dengan maksud disebalik motif. Ia adalah sebuah seni halus yang sangat tinggi dan maju melangkaui masanya. Jadi, maafkanlah penulis jika ia tidak selurus atau se”direct” buku-buku moden.

Di dalam menghimpun ilmu untuk diri disamping berkongsi bersama rakan-rakan perpipaan lain, tentunya banyak cabaran untuk meneruskan kelestarian pipa di dunia fana di pipa.blog ini, lebih-lebih lagi dengan beban kerja yang makin menuntut masa dan senario perpipaan kita yang semakin dicengkam dengan stigma masyarakat yang semakin mahukan kehidupan yang lebih abadi. Akan tetapi, syukur penulis panjatkan ke hadrat Illahi kerana masih banyak idea dan siri-siri baru yang dapat saya lontarkan pasca bicentennial ini. Kita akan meneroka dunia briar; dari kultivasi, rawatan hinggalah ke jenis dan perbezaan briar, dunia deria rasa “ke-enam” yakni “smokiness”, beberapa fenomena dan hipotesis baru perpipaan kita, juga mungkin menjenguk beberapa jenama pipa dan karakteristik pembuatannya.

Terima kasih penulis ucapkan buat pembaca budiman dan teman-teman sekalian. Semoga kita semakin maju dengan halatuju perpipaan dan mempergunakan ilmu yang kita pelajari dengan sebaik mungkin.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

2 thoughts on “We Are Bicentennial!

  1. Tahniah prof untuk artikel yang ke-200. Sangat bangga punya rakan perpipaan yang banyak menyumbang dan berkongsi ilmu. Semoga prof terus menulis. Selamat mempaip!

    _oldman

    Liked by 1 person

    1. Terima kasih cikgu…saya pun berbangga dapat bercoretan di Mampos selama ini – satu platform yang Cikgu mulakan dan telah menjadi tonggak scene perpipaan kita sekarang 👌

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s