Berdansa Dengan Aromatika (Izinkan Saya, Sekali-Sekala) – Bavarian Blend No 3

Semenjak memajukan deria rasa ke arah blend-blend yang lebih subtle dan spesifik seperti Oriental, English dan VA/Per setelah enam bulan mengenali pipa suatu ketika dahulu, saya dapat merasakan yang kunjungan saya terhadap blend-blend aromatik adalah lebih tertumpu kepada hari-hari minggu sahaja. Bauan yang terbit dari tin-tin blend aromatik adalah sangat menjemput rasa, akan tetapi palate akan terasa kosong apabila asap aromatik itu singgah.

Mungkin boleh dikatakan ia adalah satu perkembangan lazim bagi seseorang pemipa apabila beralih arah dari aromatik kepada latakia atau full virginia. Ini adalah kerana pada peringkat awalnya, kita lebih terarah kepada pencarian flavor-flavor sekitar aromatik – kita mahukan rasa ceri, strawberi, vanilla atau coklat itu singgah di palate kita apabila asap yang dibakar sudah pun memberikan pembayang flavor-flavor tersebut. Dan kebiasaannya ia akan menjadi sebuah keseronokan persinggahan, sebelum diri kita diracuni oleh hasutan rakan taulan untuk mencuba blend English, atau oriental. Sukar untuk meminati latakia secara persendirian, dan apabila kita mencuba-cuba hasil hasutan rakan-rakan, barulah ia melekat kepada kita.

Walau bagaimanapun, fitrah manusia untuk mudah merasa jemu dengan kebiasaan yang merutin adalah satu anugerah yang juga adalah baik untuk kita. Ia memberikan kita satu peluang untuk melawati baccy genre ini sekali-sekala. Dan kali ini, saya tertarik untuk mencuba Bavarian Blend no 3 keluaran Vauen. Blend ini adalah sebuah blend baru yang dikeluarkan pada 2017 oleh syarikat pertembakauan German ini.

Saya akui yang Vauen adalah agak asing bagi saya, kerana saya tidak pernah mencuba sama ada pipa keluarannya (kecuali sebuah pipa estet Vauen yang agak decent) mahupun keluaran tembakaunya. Jadi apabila melihat keluaran baru ini terpampang dijual di tobakonis tempatan, saya mengambil peluang itu untuk mencubanya. Bavarian Blend no 3 adalah sebuah blend yang berkomposisikan hanya virginia dan black cavendish. Sudah tentu virginia adalah asas blend dan black cavendish tentunya bertindak sebagai tembakau perisa untuk blend ini. Mudah dan ringkas, bukan?

Kita dijanjikan dengan flavor hops, malt dan vanilla yang tersemat rapi di dalam tin biru kekelabuan ini. Dan bauan yang terbit dari tin sememangnya sangat menjemput selera. Saya dapat menghidu bauan seperti prun, dried fig, grenadine syrup, molasses, campuran buahan kering dan sedikit hop / barli masam. Untaian ribbon gelap berselang-seli dengan ribbon bright leaves, merah dan cokelat, menjadikan isi tin Bavarian Blend adalah sebuah pemandangan baccy yang sangat indah. Berkemungkinan besar beberapa jenis varian virginia digunakan di sini namun Vauen tidak pula memperkatakan tentangnya.

Oleh kerana keadaan tembakau blend ini adalah agak sederhana lembap, tidak sukar untuk menyalakan Bavarian Blend. Nota hop dan malt tidak terlalu kuat akan tetapi vanilla sememangnya semerbak dan mekar walaupun bowl belum dinyalakan. Bavarian Blend adalah sebuah blend aromatik yang memiliki nota tin yang menarik, dan tidak kurang pentingnyq adalah persembahan untaian tembakau potongan ribbon nya yang memiliki gabungan warna menarik – kehitaman atau biru gelap black cavendish yang dikontraskan dengan bright virginia yang berwarna kuning terang, disulami dengan untaian ribbon virginia coklat pudar seakan red virginia. Setiap kali saya membuka tin Bavarian Blend No 3, acapkali saya akan leka dan alpa dengan susunan tembakau yang sebegini indah.

Flavor masam-manis ala prun dan fig memang dapat dirasakan dengan jelas bagi saya. Flavor ini, yang saya kirakan datang dari black cavendish adalah satu flavor yang kekal dominan; dari nota tin hingga lah ke flavor tembakau. Sedikit hop masam juga turut dapat dirasakan. Setiap hembusan asap juga memberikan bauan vanilla dan fig yang agak menyelerakan.

Dan sebagaimana kebanyakan blend aromatik, keseronokan itu akan hilang setelah tembakau membakar sehingga 2/3 bowl. Rasa pahit yang agak “monotonous” mulai menguasai sesi perpipaan – satu masalah apabila daunan virginia yang digunakan gagal untuk memberikan asas blend dengan baik untuk memuaskan palate kita. Namun mungkin sememangnya Bavarian Blend ini dicipta untuk lebih menonjolkan sisi aromatik berbanding kepuasan asas virginia, menjadikannya sebuah blend yang agak sesuai untuk “social smokers” dan mereka yang hanya mahu mencari sedikit kesantaian bersama pipa pada waktu-waktu tertentu.

Maka itu jika kesantaian yang anda cari, anda pastinya akan berpuas hati dengan apa yang Bavarian Blend No 3 mampu berikan.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

2 thoughts on “Berdansa Dengan Aromatika (Izinkan Saya, Sekali-Sekala) – Bavarian Blend No 3

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s