Minggu sebelum IPSD baru-baru ini, kita telah berbincang mengenai pemergian Dunhill Flake. Ia sememangnya satu situasi yang agak malang kepada dunia perpipaan secara amnya. Ini kerana Dunhill adalah sangat signifikan kepada kita pemipa. Untuk membayangkan kita bakal kehilangan sebuah blend yang paling mudah untuk didapatkan, itu adalah satu perkara yang agak suram. Dunia kita semakin terhimpit dan tekanan dari pelbagai pihak dan sudut juga semakin memuncak.
Bagi sesetengah pemipa, membeli blend-blend yang bakal hilang ini pada kuantiti yang banyak dan menyimpannya untuk suatu masa yang agak panjang kemudian – sama ada dengan tujuan untuk menikmatinya secara berterusan hingga ke hari tua, atau sebagai satu novelti perpipaan di kemudian hari, atau mungkin sebagai “investment” di masa hadapan – adalah satu cara untuk mengekalkan keberlangsungan blend keluaran firma perpipaan bersejarah itu. Perkara sebegini sememangnya adalah lumrah kita manusia, di mana apabila kita tahu yang sesuatu benda itu akan habis, kita pastinya risau dan ibarat hamster mengumpulkan kekacang di dalam tekak, kita juga pastinya mahu bertindak ke atas situasi sebegini.
Walaupun situasi seakan “hoarding” ini sedang dan telah pun berlaku terhadap blend-blend Dunhill, kita dapati ia sebenarnya masih boleh didapatkan di pasaran. Ramai pemipa yang bertanyakan kepada saya mengapa situasi ini tidak seperti saat kita kehilangan blend McClelland pada tahun lepas, dimana hampir 95% blend McClelland lenyap dari pasaran seawal seminggu-dua selepas berita pemergian McClelland diterima kita. Kita perlu faham akan satu perkara – stok blend Dunhill yang tersimpan di tobakonis-tobakonis kebiasaannya adalah agak tinggi. Ini adalah benar kerana kita selalu nampak tin-tin Dunhill tersusun tinggi di kedai-kedai apabila kita pergi melawat, dan jarang sekali ia berada di dalam keadaan kehabisan stok.
Walaupun stok Dunhill di tobakonis masih nyata banyak, dalam diam pengunduran Dunhill dari dunia blending tembakau akan masih menyebabkan satu keadaan panik kelak. Kita telah lihat dan mengharungi panik pasaran sebagaimana yang kita alami dengan McClelland. Adakah situasi yang sedemikian akan berlaku tidak lama lagi? Adakah “tobacco hoarding” secara besar-besaran akan kembali menghantui kita? Mampukah kita menjelaskan kepada anak bini kita akan satu lagi rak yang tersembul penuh dengan timbunan tin-tin My Mixture 965, Nightcap dan Royal Yacht yang akan mengambil tempat pinggan mangkuk Arcopal koleksi sang isteri (setelah rak Lego anak dipenuhkan dengan Frog Morton dan Holiday Spirit sedikit masa dahulu)?
Jika diikutkan sebenarnya, kita tidak perlu untuk mempedulikan sangat pun akan pengunduran Dunhill dari dunia pertembakauan sekarang. Ini adalah kerana tiga sebab. Yang pertama, banyak blend-blend lain yang setara atau jauh lebih baik dari blend Dunhill. Walau saya memang mengakui yang blend-blend Dunhill adalah secara pukul rata nya lebih berkualiti dari “average”, namun banyak juga blending house lain yang tampil dengan blend-blend yang jika tidak setaraf, mungkin jauh lebih baik. Contohnya, Escudo vs Deluxe Navy Rolls. Atau Peterson Old Dublin vs Nightcap. Atau Balkan Sasieni vs My Mixture 965, atau Samuel Gawith’s FVF vs Dunhill Flake; kesemua blend yang berlawan dengan Dunhill “heavyweights” ini adalah sangat baik dan mampu untuk menyamai (atau di sesetengah kes, malah menenggelamkan) keunggulan Dunhill pada bila-bila masa.
Sebab yang kedua adalah soal harga. Penjenamaan Dunhill adalah salah satu “brand mystique” yang sangat berjaya sekali, ia patut dikaji dan dibukukan. Kita semua tahu dan mengaitkan Dunhill dengan kualiti. Dan penjenamaan sebegini tidak akan berjaya jika ia hanya hadir di dalam suatu segmen sahaja. Kualiti Dunhill diiktiraf di pelbagai segmen – dari topik pokok kita pipa & tembakau, rokok (mengulit rokok Dunhill di bibir pada zaman dahulu adalah status kejayaan – sesuatu yang tidak di”associate”kan dengan rokok 555, Gold Leaf atau Winston), peralatan tobakiana (lighter dan sebagainya), sehinggalah ke minyak wangi dan pakaian lelaki. Beberapa pendapat memperkatakan tentang persepsi kualiti Dunhill ini adalah bersandarkan kepada julat harganya dan impak julat harga tersebut kepada pemikiran dan persepsi kita – sesuatu yang mungkin ada betulnya akan tetapi sebagai pemipa, saya harus akui yang kualiti tembakau Dunhill adalah tinggi. Cuba perhatikan untaian ribon nya yang sekata dan hampir tiada langsung tangkai daun tembakau (untaian yang selalunya keras seperti kayu yang dipercakan) di dalam blend-blend mereka (saya katakan “hampir” kerana mungkin anda pernah menjumpainya, akan tetapi saya tidak pernah menemui sedikit pun bahagian tangkai daun tembakau di dalam blend-blend Dunhill, dan pada blend lain selalunya bahagian itu ada). Ini menunjukkan yang bekalan tembakau yang dibeli oleh Dunhill juga adalah dari sumber yang premium.
Sebab yang ketiga adalah polisi penjenamaan Dunhill itu sendiri. Dunhill era baru sememangnya tidak mahu akan kaitan jenama mereka dengan dunia pertembakauan. Pipa, rokok dan segalanya – satu cetusan maskuliniti pada abad ke 18 hingga lah ke 90an – sudah tidak lagi “hip” dan “cool”. Ia seringkali dikaitkan dengan depresi, tabiat buruk, merbahaya dan “terkebelakang”. Banyak usaha untuk membanteras tembakau dan kesan buruk dari penggunaannya. Oleh yang demikian, Dunhill melihat kepada perkembangan ini yang mampu menggugat pasaran mereka yang sudah pun menembusi dunia fesyen. Kejayaan mereka untuk dikenali sebagai salah satu ikon fesyen dan maskuliniti England adalah jauh lebih bermakna dari sejarah permulaan mereka maka atas dasar itu lah polisi untuk keluar dari industri pertembakauan diterapkan oleh firma bersejarah itu sendiri.
Walaupun begitu, suka atau tidak adalah bukan persoalannya sekarang. Dunhill adalah sebuah nama yang sangat akrab kepada kita pemipa. Dunia perpipaan banyak berevolusi dengan ciptaan-ciptaan Dunhill, sebagai contoh yang paling besar adalah sudahan sandblast dari Shell Briar, inner tube untuk penyejukan asap melalui proses kondensasi di dalam sebatang besi berlohong yang diletakkan di dalam shank, penggunaan bahan Cumberland sebagai stem pipa, penggunaan briar Algeria yang lembut dan dianggap “inferior” sebelum ini, serta banyak lagi.
Saya ada mengatakan kepada saudara Azmi Aziz pada malam IPSD di BPCS tempohari, “Nah, dengan adanya John Cotton ni, takde la kita rindu sangat dengan My Mixture 965 atau Nightcap kelak…” sambil mengepek Numbers 1&2 ke dalam bowl corncob saya. Setidaknya, sebagai pemipa kita harus lah bersedia untuk mengalami kes-kes kehilangan blend yang dipreferensikan sedemikian rupa. Jangan lah kita lupa; disebalik ribut petir masih ada langit yang cerah kemudiannya. Dan di dalam setiap masalah, tentu ada peluang yang wujud bersamanya. Maka, jadikan lah kehilangan Dunhill ini sebagai satu titik-tolak bagi kita untuk mencuba blend-blend lain, terutamanya jenis yang mudah untuk didapatkan di pasaran kita ini.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!