Black Is The New Lux – Pipa-Pipa Hitam Anda

Warna hitam seringkali dikaitkan dengan perkabungan, kuasa jahat, agenda gelap, abnormal dan mistik sejak berzaman lagi. Ia adalah warna pilihan ahli-ahli sihir di zaman medieval dan dianggap kotor dan “outcast” pada ketika itu. Akan tetapi masuk lewat abad ke 20 hingga sekarang, nasib warna hitam secara tiba-tiba berubah – ia menjadi hip dan menarik kepada umat manusia. Apa yang pernah menjadi “taboo” pada suatu ketika dahulu didapati amat menarik dan trending sekarang.

Klasik, elegan dan “luxury” – begitulah apa yang saya selalu terfikirkan apabila melihat pipa-pipa yang disaluti dengan warna hitam yang sememangnya misteri lagi menawan. Namun pernahkah anda terfikir yang di dalam dunia briar pipa yang mementingkan unjuran ira straight / flame grain yang menawan, ataupun pusar-pusar birdseye yang menggentarkan jiwa, bagaimana masyarakat pemipa mampu menerima simbahan warna kelam ini di atas setongkol briar yang cantik itu?

Mungkin Dunhill telah mempopularkan sentuhan warna hitam ini di dalam pipa-pipa siri “Dress” mereka, yang jika kita lihat adalah agak sedondon ketika pipa sebegini dipadankan dengan tuxedo atau blazer dan jaket hitam. Dan tidak lama kemudian, Castello turut mengikuti jejak langkah Dunhill dan membawa permainan ini beberapa takuk di atas dengan saduran warna hitam yang berlamina yang sangat “labor intensive” dan terhad. Turut merancakkan keadaan adalah keluaran Peterson “Ebony” yang menjurus kepada sudahan warna hitam a-la “matte”. Pipa-pipa dari siri ini adalah pelopor kepada populariti pipa-pipa “ebony” dan menjadi pemangkin cetusan idea untuk Savinelli, Ropp, Brebbia, Big Ben dan beberapa jenama lainnya untuk turut menghasilkan perkara yang sama.

Betapa elegen kah sudahan hitam ini terhadap kita masyarakat pemipa? Bagi saya, ia adalah sangat-sangat elegan, walaupun tidak lah se-praktikal dahulu. Pada ketika itu, anda masih boleh berpipa di ballroom-ballroom dan majlis-majlis formal, jadi mengenakan pakaian formal seperti tuxedo atau blazer yang diapit oleh aksesori seperti sebuah pipa berwarna hitam adalah “as classy as one can be”. Sekarang, mungkin kita tidak lagi dibenarkan untuk berpipa di dalam majlis-majlis akan tetapi impak kepada situasi-situasi sebegitu menjadi satu epitom kepada faktor elegen sesebuah pipa yang berwarna hitam.

Dari segi filosofinya, saya suka untuk menperbandingkan sebuah pipa sudahan hitam dengan sepasang kasut hitam kulit. Kontradiksinya ia adalah dua benda yang sangat berbeza, namun ia memiliki banyak persamaan dari segi relfeksinya kepada sifat-sifat “well-groomed”, “impeccable taste”, “bespoked”, “gentlemanliness” dan “suaveness”. Impaknya adalah sama – kasut kulit hitam yang bersih dan berkilat mencerminkan ciri-ciri elegan kepada seseorang lelaki, dan ia secara timbal balik akan pula memberikan satu keyakinan yang sangat mendalam kepada pemakainya. Begitulah juga dengan sebuah pipa berwarna hitam, yang memberikan impak yang sama baik apabila ia digamit di mulut. Tambahan pula dengan aksesori yang strategik seperti silver ring atau aksentuasinya – anda semestinya adalah “the man of the day” dengannya!

Tahukah anda perkara pertama yang kebiasaannya dilihat oleh wanita apabila mereka mahu menilai seseorang jejaka adalah bentuk, gaya dan kebersihan kasut kulitnya? Ia adalah fakta yang mungkin tidak disedari ramai. Pemikiran wanita adalah sangat kompleks jadi kerana itulah daripada kita membuang masa memikirkan kenapa ia adalah sedemikian, akurlah kepada kehendak dan naluri mereka untuk melihat anda dengan sepasang kasut kulit yang baik. Malah, jangan berhenti di situ sahaja, dapatkan juga pipa sudahan warna hitam yang boleh menaikkan sedikit “elegance rating” anda – mungkin sedikit masa dahulu, pada gadis juga sangat memerhatikan pipa-pipa yang tergamit kemas di bibir jejaka-jejaka intaian mereka.

Pipa dengan sudahan hitam sebegini tidaklah mendapat status “dress pipe” dengan mudah. Ada ura-ura yang berlegar di dalam dunia perpipaan dari dahulu hingga sekarang yang menyentuh akan integriti sesebuah pipa yang disadur dengan warna hitam. Antara yang paling kerap didengari adalah tuduhan yang saduran hitam ini adalah sebuah “topeng” kepada briar yang menerima rawatan untuk sandpit. Mungkin ada beberapa jenama yang tidak bertanggungjawab yang melakukan perkara ini pada masa-masa terdahulu, namun secara amnya sukar untuk saya membayangkan firma-firma pipa tersohor seperti Dunhill, Castello, Savinelli, Peterson atau mana-mana artisan yang akan melakukan hal-hal sebegini. Jika dijumpai, bukankah ia akan merosakkan reputasi jenama mereka sendiri?

Paling tidak, berkemungkinan besar adalah pipa-pipa yang disadur dengan warna (tidak semestinya hitam) sebegini tidak menggunakan briar-briar dengan unjuran grain lurus atau flame grain. Perihal ini saya percaya adalah satu lumrah – siapa yang mahu menggunakan blok plateau XX berunjuran straight grain yang indah hanya untuk disudahi dengan sapuan finishing hitam kelak? Dan juga ia boleh dijustifikasikan dari segi harga, kerana tidak ada jenama pipa yang mengenakan harga yang sama bagi keluaran straight grain dan dress pipe mereka.

Walau bagaimanapun, kekurangan dari segi unjuran grain briar dineutralkan oleh kepayahan pembuatannya. Saduran warna hitam yang menawan itu bukanlah sekadar kerja celup-mencelup. Kebanyakan pipa-pipa sebegini diwarnakan secara berlamina, yakni lapis demi lapis. Ada yang diwarnakan dengan warna merah dahulu sebelum warna hitam diaplikasikan, ada yang menggunakan teknik coating. Yang paling ketara bagi saya adalah Castello, dengan pengeluaran siri “Perla Nera” yang menggunakan applikasi saduran warna berlamina – sangat banyak lapisannya hingga ia dikatakan sangat memakan masa artisanal-artisanal Castello jadi ia hanya dihasilkan di dalam kadar beberapa buah pipa sahaja setiap tahun. Oleh kerana tahap kesukaran pembuatannya yang sangat “labor intensive” inilah yang menjadikan sesetengah pipa-pipa bersadur warna hitam sebegini adalah lebih mahal dari finishing flame grain mereka!

Mari kita menjenguk pula kepada satu lagi isu yang sering kita dengar tentang pipa-pipa dengan sudahan sebegini; ia akan menjadi lebih panas ketika digunakan berbanding pipa-pipa biasa. Pada asasnya kita tahu yang permukaan pipa yang disudahi dengan penggunaan syelek atau lacquer akan tidak dapat “bernafas” kelak – di mana pori-pori briar sudah pun tertutup dan kelak ia akan menjadi sangat panas dan kurang selesa untuk digunakan. Dek kerana itu lah jenama-jenama baik selalunya tidak akan menggunakan syelek atau lacquer untuk finishing sebegini. Sebaliknya mereka akan menggunakan kaedah “staining” dan “polishing” yang tidak akan menutup pori-pori briar pipa mereka, memberikan kita kepastian yang pipa-pipa hitam mereka berapa di tahap yang sama baik dengan pipa-pipa mereka yang lain.

Tambahan pula, pipa-pipa yang di syelek atau di lacquer kebiasaannya akan membentuk efek seperti gelembung-gelembung kecil hasil dari tindakbalas pembakaran di dalam bowl yang akan menolak udara panas melalui pori-pori pipa tersebut keluar namun ia tersekat oleh lapisan syelek atau lacquer tadi. Malah, mungkin gelembung-gelembung ini akan mengelupas kemudiannya, lantas mencacatkan permukaan bowl pipa dan semestinya kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku. Imej “luxury” permukaan hitam dan licin akan hilang serta-merta apabila ianya cacat dengan permukaan lacquer yang menggelembung.

Ciri-ciri elegan yang terdapat pada warna hitam kini kerap diaplikasikan di dalam dunia perpipaan dengan beberapa jenama khusus yang mempelopori segmen khas ini. Keindahan pipa-pipa yang disudahi dengan warna hitam semakin mendapat tempat di hati pemipa, terutamanya kepada mereka yang terkadang merasa bosan kerana terlalu kerap menilik ira-ira grain pada briar yang abstrak dan tidak berkesudahan itu. Apa pun citra rasa kita, kepelbagaian briar dan persembahannya haruslah kita hargai dan terima dengan hati yang terbuka.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s