“Aboriginal Finish” – Finishing yang Mustahil dan Pra-Sejarah dari Peterson

Pipa-pipa keluaran Peterson adalah berbaloi untuk kita perhatikan. Sebagai sebuah jenama pipa yang popular dan selalu ada di tobakonis-tobakonis sama ada luar negara mahupun tempatan, anda tidak mampu untuk mengelak dari membelek-belek Peterson. Julat penawarannya yang sangat meluas – dari entry level hingga lah ke seleksi premium; dari briar hingga lah ke meerschaum – sukar untuk kita mengatakan yang Peterson tidak mampu menawarkan sesuatu.

Disebalik kesemua penawaran ini dan pengamatan saya terhadap kemajuan dan percambahan produksinya, saya masih mampu untuk dikejutkan dengan sesuatu yang saya tidak pernah pegang – Plato adalah well-coveted enough dan sukar untuk didapatkan, Gold Spigot pernah saya belai dan pertimbangkan untuk memilikinya (hampir-hampir sekali), Tawny Deluxe ada di tangan saudara Howler Wolves (kita masih berpeluang untuk meniliknya, jika beliau izinkan), dan terdapat juga beberapa kolektor tempatan yang memiliki Straight Grain, Deluxe dan House Pipes – namun saya tidak pernah mendengar tentang “Aboriginal Finish” sehingga lah saya memegangnya.

Tunggu. Saya tidak pernah membeli sesuatu tanpa mengetahui akan namanya. Terasa janggal, bagaikan membawa gadis berdating tanpa anda bertanyakan akan namanya terlebih dahulu; sangat rude dan kelam.

Namun intuisi itulah yang membawa saya kepada finishing yang tidak diketahui ramai ini. Pada sekitar 60-70an, Peterson mengeluarkan segerombolan pipa yang dihasilkan oleh Laxey di Isle of Man, yang hampir kesemuanya diperbuat dari meerschaum keluaran Amboseli Basin, atau Tanganyika – yang secara umumnya kita kategorikan sebagai meerschaum Afrika. Oleh kerana kadar “impurities” yang tinggi di dalam meerschaum jenis ini menjadikannya agak sukar untuk didapati di dalam warna putih mulus sepertimana meerschaum kelas terbaik dari Eskisehir Turki, ia diwarnakan dengan tona yang lebih gelap dan diukir supaya permukaan bowl nya memiliki facet-facet yang berkemungkinan untuk mengelak bahagian-bahagian berimpuriti. Pada ketika itu, jenis meerschaum dengan finishing sebegini dikenali sebagai “Aboriginal Finish”.

Mengapa ia dipanggil “Aboriginal Finish”? Tidak ada jawapan konkrit yang dapat saya temukan. Cuma andaian saya mengatakan yang mungkin dek kerana bentuknya yang agak kasar dan prasejarah menyebabkan ia digelar begitu oleh pipemaker-pipemaker Peterson pada waktu itu. Dua-tiga dekad kemudian Peterson masih lagi mengeluarkan pipa-pipa meerschaum Afrika / Amboseli, namun dengan finishing berukir atau “latticed” yang tentunya kelihatan lebih moden, maka jolokan “Aboriginal Finish” untuk keluaran faceted ini adalah agak sesuai juga akhirnya.

Saya menyatakan yang “hampir kesemua” pipa Aboriginal Finish ini diperbuat dari meerschaum Afrika / Amboseli kerana untuk menemui spesimen briar adalah sangat, sangat sukar! Finishing aboriginal finish ini sememangnya ekslusif datang dengan pipa-pipa meerschaum, yang ia sendiri juga sukar untuk didapatkan, dan tidak saya pasti kenapa ia masih dihasilkan dengan pipa briar. Namun sepanjang pengetahuan saya sangat sukar untuk menemukan briar dengan finishing sebegini – sampel gambarnya di internet juga sangat sukar untuk dilihat – jadi apabila ia sampai ke tangan saya ia adalah satu titik pengkolektivitian yang sangat berharga dan penting, kerana faktor rarity dan juga kepentingannya dari sudut sejarah Peterson itu sendiri.

Terdapat satu garisan yang sangat halus mengenai “rarity” dan populariti – dan terpulang kepada individu untuk menilai faktor ini secara tersendiri. Sememangnya dikatakan pipa Peterson dengan aboriginal finish atau “faceted” ini adalah keluaran khusus – kebiasaannya untuk meerschaum akan tetapi terdapat juga pada jenis briar, pada tahap yang sangat sedikit. Boleh jadi kerana pengeluarannya memang dikhususkan untuk menjadi sedikit, ataupun mungkin kerana bentuk faceted ini kurang mendapat tempat di hati pemipa. Jika dikirakan pada estetik bentuk, faceted finish akan sedikit sebanyak mencacatkan rupa bentuk asal sesebuah pipa, lantaran itu ia mungkin adalah agak kurang disenangi oleh para pemipa. Namun jika dilihat dan diamati, kecantikan faceted finish ini adalah sangat menarik, lain dari yang lain dan sangat “fresh” lagi “evergreen” – anda tidak akan bosan melihatnya dan setiap kali mencapai pipa ini, saya akan dapat melihat sudut kecantikan yang berbeza dari apa yang saya perhatikan sebelumnya.

Tentunya, demi menghasilkan faceted finish yang sebegini menarik, pipemakers juga terpaksa meneliti briar dengan lebih mendalam, mengambil-kira setiap unjuran grain pada setiap facet yang mahu dicorakkan. Ia pasti mengambil masa yang agak lama dan usaha yang jauh lebih tinggi untuk menghasilkan faceted finish berbanding pipa dengan finishing smooth yang biasa, kerana walaupun ia kelihatan seperti tidak dirancang, pengukiran faceted finish juga akan menjadi tidak menarik sekiranya ia di lakukan tanpa perancangan yang baik. Oleh itu, ia masih meruntun skill pertukangan yang baik dan perancangan kerja yang rapi dari pipemakers yang terlibat.

Selain dari keunikan bentuk dan faktor “rarity”nya, Peterson dengan finishing ini memberikan anda sensasi “tactile” yang sangat unik. Ia sangat berbeza jika dibandingkan dengan sensasi “tactile” yang kita biasa dapatkan dari pipa-pipa rusticated, yang jauh lebih tajam dan kasar. Aboriginal finish memiliki kelembutan sentuhan pipa smooth, dan permukaannya yang bersegi itu pula sangat mendamaikan apabila anda melalukan ibu jari anda padanya. Agak seronok untuk memegangnya sambil memandu atau sambil membaca buku.

Juga keseronokannya tidak habis di situ sahaja. Aboriginal finish sebegini juga adalah sebuah pipa yang sangat menarik untuk dilihat, terutamanya apabila pencahayaan tertumpu pada sesebuah bahagian sahaja. Sama ada ia disinari lampu sorot yang menumpu atau menerima sedikit cahaya matahari, beberapa bahagian persegiannya di sekitar bowl akan memantulkan sedikit cahaya manakala persegian yang lain akan kelihatan kelam dan beberapa persegian lagi menerima separuh penumpuan cahaya untuk kelihatan sedikit kemerahan, menampakkan apa sahaja unjuran grain atau birdseye dengan sangat baik sekali. Keseronokan untuk membelek pipa sebegini, leka dengan refleksi cahaya terhadap permukaan bowlnya adalah salah satu kenikmatan di dalam hobi perpipaan yang hanya dapat di apresiasi oleh golongan kita sahaja. Mengasyikkan dan melegakan, ia memiliki unsur-unsur “stress-relieving” di situ.

Adalah sangat indah bagi pemipa seperti kita untuk memiliki koleksi unik seperti Peterson jenis “aboriginal finish” ini – tambahan pula kita sedia maklum yang Peterson mengeluarkan beribu pipa setahun. Strategi pemasaran Peterson ini menjadikan pasaran pipa dilambakkan dengan jumlah Peterson pada kadar yang agak banyak, dan untuk melihat sebutir-dua yang agak unik dan “stood-out” sebegini, it just make my day. Dan jika anda tertanya-tanya tentang smoking capabilities Peterson ini, saya boleh mengatakan yang setakat ini kesemua Peterson saya adalah di dalam kategori “very good smokers”. Mungkin bukan the best atau di tahap sebagaimana bagusnya pembuatan pipa yang lebih baik seperti Castello atau jenama artisan perseorangan yang lain, akan tetapi saya tidak pernah menemui sebuah pun Peterson yang dikategorikan sebagai “bad smoker”.

Dengan penghasilan banyak keluaran baru yang lebih menjurus kepada komemoratif dan berpaksikan bentuk-bentuk yang lebih moden dan popular, harapan untuk Peterson menghasilkan kembali “aboriginal / faceted finish” sebegini adalah seperti menunggu kucing bertanduk. Mungkin mereka memiliki sebab-sebab yang tersendiri namun yang nyata sekarang pipa-pip Peterson sudah pun menjadi semakin “commoditised” dan biasa. Bentuk-bentuk dan finishing yang unik dan “specialised pieces” sebegini adalah seperti menikmati short ribs di hujung minggu selepas nasi lauk sepanjang hari minggunya.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s