Mengenal Stem Pipa : Material Sintetik (Bakelite, Ebonite atau Vulcanite / Akrilik / Lucite)

Di minggu lepas kita telah pun mengupas akan penggunaan bahan semulajadi sebagai stem pipa. Berkadar langsung dengan kemajuan teknologi yang pesat, banyak bahan sintetik baru dihasilkan demi mencapai matlamat keselesaan dan kepenggunaan manusia. Jadi minggu ini kita akan lihat dengan lebih dekat tentang penggunaan bahan sintetik seperti bakelite, vulcanite dan akrilik sebagai stem pipa.

Bakelite mula diperkenalkan pada tahun 1907 dan merevolusikan industri pembuatan pada zaman itu kerana ia adalah bahan plastik yang pertama untuk muncul secara besar-besaran. Efektif sebagai insulator kepada elektrik dan haba, tahan lasak, mudah dibentuk dan licin, mudah untuk kita fahami mengapa bakelite adalah pengganti ideal kepada bahan stem semulajadi yang agak bermasalah.

Imej dari smokingpipes.com

Menjadi “the in thing” pada sekitar 1920an, bakelite adalah satu “fashion statement” pada ketika itu. Namun ia tidak mengambil masa yang lama untuk bahan plastik lain dicipta, dengan kadar ketahanan dan penerimaan warna yang lebih baik dari bakelite. Juga yang menjadi persoalan adalah tahap keselamatan produk bakelite yang terhasil dari phenol dan formaldehyde yang sudah pun diwartakan sebagai “carcinogenic” – boleh menyebabkan kanser.

Dalam masa yang lebih kurang sama, penggunaan bahan ebonite telah pun mencapai tahap populariti yang baik dikalangan para pemipa. Ebonite (atau nama asalnya vulcanite) adalah bahan gentian getah yang terdiri daripada getah, minyak linseed dan sebahagian besar sulfur. Ebonite diperkenalkan lebih awal dari bakelite, yakni sekitar lewat 1800an dan penggunaannya untuk bahan stem juga diterima dengan baik oleh pemipa.

Ebonite pada zaman itu masih belum menerima “stylisation” warna dan corak maka ia hanya ada dengan warna hitam keabuan / hitam pudar yang diterima-pakai sebagai standard. Mungkin kerana itulah apabila bakelite diperkenalkan, ia meraih populariti yang lebih baik buat sementara waktu. Ia mengambil masa yang agak lama untuk ebonite berevolusi menjadi lebih berkilat (dengan paduan lebih unsur sulfur namun ia masih tidak sekilat akrilik) dan menarik dengan paduan warna yang lebih baik seperti yang ditonjolkan oleh Dunhill di dalam “Cumberland stem” mereka. Agak jelas saya nyatakan di sini yang stem Cumberland juga adalah dari jenis ebonite.

Apa yang menjadi asas yang kukuh buat ebonite adalah sifatnya yang lembut dan tahan; ramai pemipa merasa sangat selesa menggigit stem ebonite berbanding bakelite atau akrilik kemudiannya. Sifat lembut dan liat ini juga menjadikannya tahan dengan gigitan, lantas stem pipa dengan “button” yang lebih halus dapat dizahirkan. Peminat stem ebonite semestinya mempertaruhkan faktor keselesaan ini sebagai sebab utama untuk mereka kekal dengan ebonite. Dan perkara ini dapat kita fahami kerana setelah sekian lama menggunakan stem dengan button yang nipis, tentunya sukar untuk menerima button stem akrilik yang lebih tebal.

Akrilik pula adalah sejenis thermoplastik yang dibangunkan demi menggantikan material-material sebelumnya yang memiliki kelemahan-kelemahan tertentu. Terdapat banyak jenis akrilik dengan komposisi-komposisi berlainan tetapi apa yang kita biasa lihat di dunia perpipaan adalah lucite atau plexiglass. Penggunaan lucite sebagai material stem pipa telah diperkenalkan buat pertama kali di dunia perpipaan oleh Castello sejak awal 1950an dan sejajar dengan kegilaan Amerika terhadap jenama hebat Itali ini pada tahun 60an ia membuka ruang yang lebih luas untuk lucite diperkenalkan kepada seluruh dunia perpipaan.

Seringkali pemipa agak keliru dengan akrilik hinggakan semua bahan stem yang bukan ebonite mereka klasifikasikan sebagai akrilik. Ini adalah tidak benar! Akrilik memiliki spektrum yang agak luas, dan jenis yang kita lihat pada pipa-pipa berjenama baik kebiasaannya adalah lucite, dimana ia datang dengan “high gloss finish” dan terkadang di dalam warna-warna lain tanpa had kepada sebarang spektrum warna. Perkara ini tidak hadir pada stem dengan akrilik biasa yang selalu dipadankan dengan pipa-pipa basket, stem pipa corncob, clay dan kebanyakan stem pipa meerschaum gred rendah dan menengah yang berwarna legap (atau terkadang berwarna kuning lutsinar). Stem-stem ini kebiasaannya adalah dari acuan tuang (anda akan dapat melihat garisan simetri acuan tuang di tengah-tengah bahagian tepi stem) dan walaupun ia masih tergolong sebagai akrilik tetapi ia bukanlah dari kelas lucite atau plexiglas yang merupakan akrilik pada kualiti terbaik.

Akrilik adalah sangat berbeza dengan ebonite, terutamanya dari segi penampilan dan penyelenggaraannya. Akrilik memiliki lebih daya tahan kerana ia lebih keras. Ia juga mampu untuk menerima buffing yang menjadikan permukaannya sangat berkilat dan hadir dalam pelbagai pilihan warna dan pola corak. Walau bagaimanapun lucite tidak memiliki “give” yang baik seperti ebonite, malah ia bersifat licin jadi mungkin agak mengambil masa bagi seseorang pemipa yang sudah terbiasa dengan ebonite untuk menerima lucite. Oleh kerana tekstur licin ini mengurangkan grip gigitan, ia akan menyebabkan pemipa berasa agak “insecure” dan berkecenderungan untuk menggigit stem lucite dengan lebih kuat. Jadi kebiasaannya stem lucite akan dibina dengan button sedikit tebal demi memberikannya lebih daya tahan untuk menangani kekuatan gigitan tadi.

Juga kelebihan yang paling umum akrilik berbanding ebonite adalah sifatnya yang seumpama “maintenance-free” – ia tidak akan terdedah kepada risiko oksidasi kerana ia tidak mengandungi bahan sulfur. Ini menjadikan stem akrilik lebih tahan lasak dan versatil – ia boleh dibawa ke mana sahaja tanpa perlu risau akan pendedahannya terhadap cahaya matahari.

Imej dari smokingpipes.com

Sudah tentu juga telah wujud preferensi di dalam memilih material untuk stem pipa anda – sama ada anda mahukan kepastian grip dan keselesaan mengulit pipa, ataupun anda sangat suka melihat “glossy finish” yang “sharp-looking” pada pipa anda dan mahukan sesuatu yang lebih lasak dan “maintenance-free”, ia adalah hak dan preferensi anda yang tersendiri. Yang paling penting adalah kita memiliki banyak pilihan dan ia sememangnya bagus untuk memiliki pilihan yang meluas kerana anda mungkin mahukan semua kelebihan ini di dalam barisan pipa-pipa koleksi anda.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s