Jika di bahagian I kita mengupas ketaksuban J.M Barrie terhadap Arcadia Mixture dengan mendalam, bahagian II ini pula menyajikan aspek-aspek lain My Lady Nicotine. Sememangnya Arcadia menjadi salah satu tunggak kepada kepada karya penulisan ini. Namun begitu, J.M. Barrie juga tidak lupa untuk mencoretkan banyak warna-warni perpipaan terutamanya yang bersangkutan dengan zaman Victorian yang nyata boleh ditemui tersebar di sepanjang muka surat My Lady Nicotine.
Apa yang saya boleh katakan dahulu adalah betapa Barrie telah mewarnakan zaman ini dengan baik sekali. Era Victorian adalah jauh dari ideal untuk dunia tobakiana dan para penggiat tembakau. Prosa bahasa yang agak tinggi dan klasik digunakan di dalam usaha Barrie menganyam detik-detik tobakiana dengan latarbelakang English di era ini; penuh dengan sinister, emosi dan satira kemasyarakatan yang dijalin kemas bersama obsesi pertembakauan (terutamanya perpipaan). Digambarkan dengan jelas akan sosio-ekonomi masyarakat setempat di kala itu, liburan setempat seperti “taverns”, teater, kecintaan kepada Shakespeare, boathouse, stesen keretapi, dan lain-lain.
Banyak lagi anekdotal yang menarik pemerhatian dan agak “familiar” bagi kita pemipa telah diberi perincian yang lebih mendalam oleh J.M. Barrie; seperti keakraban pemipa dengan pipa ulungnya, keseronokan dan cabaran dalam berjimat untuk membeli pipa baru (memotong beberapa perkara bulanan seperti langganan akhbar dan aktiviti mingguan menonton wayang gambar demi pembelian sesebuah pipa – hmm agak praktikal dan seperti kita juga pernah melaluinya bukan?), memberikan nama terhadap pipa-pipa miliknya, memesan tembakau ketika berada di luar bandar, tangisan apabila pipa yang sangat disayanginya rosak, hinggalah ke perincian di mana pemikiran yang tidak menentu akan menyebabkan pemipa menggigit stem mereka dengan kuat sehingga merosakkan bahan amber (satu bahan stem yang agak popular pada ketika itu).
Walaupun karya ini sebenarnya menjurus kepada anekdotal seorang pemipa / penggemar yang mahu lari atau berhenti dari penggunaan tembakau kerana ingin berkahwin (oh, how ironic!), naratif yang disampaikan adalah lebih merupakan kepada keinginan terhadap dunia tobakiana yang tidak pernah padam. Malah, Barrie turut menyelitkan perbezaan antara zaman Elizabethan yang sangat gemilang untuk seni dan literasi berbanding zaman Victorian yang lebih bersifat lebih “kasar” dan menampilkan realiti kehidupan yang lebih berat seperti perjuangan golongan pertengahan, realiti kepentingan “day job”, kesukaran ekonomi dunia dan lain-lain. Dan yang lebih signifikan lagi, zaman Elizabethan mengalu-alukan penggunaan tembakau (di sini lah dikatakan Sir Walter Raleigh bermula) manakala masyarakat zaman Victorian sudah mulai mencemuh tembakau dan aktiviti-aktiviti berkaitannya.
Apa yang lebih menarik di dalam penulisan Barrie ini adalah semangat setiakawan yang hadir pada lelaki apabila mereka berkongsi “tabiat” yang sama. Di dalam konteks ini, anda perlu meneliti setiap prosa dan mungkin mengulang-baca untuk memahami perkara ini secara mendalam. Walaupun subjek yang lebih jelas adalah blend kegemaran mereka Arcadia, reaksi mereka terhadap briar (disebut “brier”), meerschaum dan pipa clay, perkumpulan mereka untuk menikmati blend itu dan reaksi mereka apabila beberapa kawan mulai berhenti atau menjauhi tembakau.
Antara rentetan yang tidak dapat kita larikan diri adalah politik. Politik sering dibincangkan tatkala kita bertemu-pipa dan ini tiada bezanya dengan zaman Victorian yang diperjelaskan oleh Barrie. Beliau turut menyelitkan beberapa pandangan politik di zaman itu dimana pandangan berbeza kawanan mereka tentang Emin Pasha yang mendapat simpati Eropah di zaman Mehdiyya (penaklukan Muhammad Ahmad ke atas Equatoria yang dipegang Emin Pasha) juga dinaratifkan dengan baik.
Betapa sinikal pemikiran kawanan ini dan sejauh mana ke tidak-setujuan mereka di dalam konteks-konteks umum dan berpegang teguh pada pendapat kendiri, masing-masing mengakui kehebatan Arcadia Mixture dan masih secara berjemaah berkumpul untuk menikmati blend kegemaran mereka apabila masa mengizinkan. Hal ini ada persamaannya apabila kita bertemu-pipa (pipemeets) saban minggu dan bulan; yang turut menampilkan pemipa dari pelbagai sudut kehidupan dan kerjaya, dengan perbezaan pendapat dan paksi politik namun masih mampu duduk semeja dan berkongsi tembakau – satu “brotherhood” yang utuh dan telah digambarkan dengan baik oleh J.M. Barrie dari awal abad ke-20 lagi.
Menelusuri karya tobakiana yang unggul ini, banyak yang dapat kita pelajari dari pemipa zaman terdahulu – dimana betapa kreatif dan kritisnya pemikiran mereka, betapa mereka memiliki beberapa kod dan etika yang sangat dihormati, dan betapa pentingnya saat-saat “enjoyment” yang mereka nikmati bersama. Dan agak ironi untuk kita mempelajari semuanya dari watak fiksyen, yang datang dari seorang penulis yang telah pun membawakan Peter Pan ke mata dunia.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!