Falcon : Revolusi Pipa Amerikana

Di tengah-tengah hutan merah-keperangan pipa-pipa briar yang menjadi tunjang produksi dan kolektiviti dunia perpipaan sekarang, pipa Falcon adalah agak mudah dibezakan. Dengan kilauan aluminium tuang yang berkilat memukau, “anodized body” yang utuh, badan yang ringan dan kepelbagaian kombinasi bowl yang boleh dipadankan bila-bila masa, ia kelihatan seperti mampu untuk menggoncang pasaran pipa briar.

Namun, ia tidaklah sebegitu mudah seperti yang disangka.

Falcon pipes bermula dengan idea untuk menghasilkan pipa yang ringan, asap sejuk, penjagaan yang minima dan kos pemilikan yang ekonomi. Dengan menerapkan konsep kondensasi sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah “gurgling”, ia telah dicipta oleh seorang jurutera dari Indiana US yang bernama Kenley Bugg pada 1936 dan dipatenkan pada 1945. Sepertimana pendekatan jurutera yang klise – Bugg tidak mengendahkan faktor kolektiviti pada awal perniagaan mereka jadi bentuk pipa Falcon adalah sangat identik dan “standard”. Malahan, pilihan bowl yang ada juga adalah sangat minimal pada ketika itu. Apa yang lebih ditekankan oleh Bugg adalah praktikaliti, yakni sistem pipa Falcon itu sendiri.

Pipa Falcon dibuat di USA dan sangat popular sehinggakan pada 1954 dianggarkan sebanyak 6 juta pipa Falcon telah terjual di sana. Tetapi selepas perang dunia ke-2 terdapat isu tentang imej Falcon di mana ia sedikit sebanyak menggugat dominasi mereka di US dan Falcon pantas bertindak dengan memindahkan produksi mereka ke England pada 1963 dan kebetulan juga ketika itu peminat pipa England mulai menerima Falcon dengan baik. Taktik ini berjaya menyelamatkan pipa Falcon dan dengan itu boleh dikatakan pipa Falcon yang bertulis hanya “Falcon” adalah keluaran USA sebelum 1963 dan yang bertulis “made in England” adalah pengeluaran selepas 1963.

Dari dahulu hingga sekarang, pipa Falcon menekankan konsep mesra pembersihan – dimana prosesnya agak mudah pemipa hanya perlu membersihkan humidome (bahagian aluminium di bawah bowl dimana cecair akan terkumpul) dan bahagian dalam shank. Terdapat aksesori “O ring” yang hanya perlu diletakkan di “central plug” yang terletak di tengah humidome untuk menyerap lembapan dan bahagian dalam shank boleh dibersihkan dengan pipecleaner biasa.

Jika seseorang pemilik Falcon adalah pemalas, risiko pembentukan kek di luar kawal hanya akan mengancam keselamatan bowl Falcon sahaja (dan sekiranya ia retak, anda boleh menukar bowl baru dengan kos yang minimum). Ini berbeza dengan pipa briar dimana risiko bowl retak yang mungkin berlaku jika kek dibiarkan tebal adalah berbahaya kepada keseluruhan pipa itu.

Seperti yang kita sedia maklum, pipa Falcon adalah amat ringan dan sesuai untuk dibawa ke mana saja. Ini secara tidak langsung bermakna ia baik untuk pemipa yang suka menggamit pipa di bibir. Faktor ini menjadikan Falcon sebuah pipa outdoor yang agak mantap – ia amat sesuai untuk aktiviti luaran yang lasak seperti memancing, berkhemah, jungle trekking dan lain -lain. Anda tentu tidak mahu pipa briar anda rosak dan tercalar ketika anda terlibat di dalam aktiviti-aktiviti sebegini, bukan?

Walau bagaimanapun, dengan bentuk yang sama tentunya pipa Falcon kelihatan agak membosankan dan kurang faktor kolektibilitinya. Menyedari akan kekurangan mereka dari segi ini, Falcon telah pun mengeluarkan beberapa siri bowl yang berbeza dari segi bentuk dan “finishing”. Maka dengan itu lahirlah bentuk-bentuk bowl Falcon yang lebih baru seperti Hyperbole, Sniffer, Istanbul dan beberapa lagi yang agak berbeza dari bentuk-bentuk standard mereka yakni Dublin, Bulldog, Apple, Algiers dan lain-lain.

Namun memandangkan pasaran pipa Falcon ini adalah besar, kepelbagaian bowl sahaja tidak lah mencukupi. Body juga perlu dipelbagaikan dan ini diterapkan dengan pengeluaran “Hunter series” yang memiliki body berwarna hitam dan siri anodized yang berwarna merah-kecoklatan. Tidak cukup dengan itu, untuk menghangatkan lagi faktor kolektibilitinya Falcon juga mengeluarkan siri “Shillelagh” iaitu siri edisi terhad, yang dikatakan hanya 400 unit sahaja pengeluarannya. Ini adalah suatu tanda yang Falcon juga sedar akan kehendak pasaran pipa yang mahukan kelainan dan pembaharuan pada rupabentuk dan persembahan produk.

Terkadang anda akan terjumpa dengan beberapa bowl Falcon yang agak “rare” seperti bowl meerschaum penuh, meerschaum-lined (bowl meerschaum-lined adalah keluaran standard Falcon dahulu namun sekarang mungkin sudah tidak dikeluarkan lagi), bowl bergrafik dan berwarna, bowl dengan bahan yang unik bagi Falcon seperti bowl cob dan juga bowl-bowl yang diluar bentuk standard. Kebanyakan jenis-jenis ini adalah “custom made” – jarang ditemukan dan sudah tentu ianya sangat indah memandangkan ia berbeza dan unik berbanding lautan Falcon bowl lain yang sangat standard dan hanya berdasarkan beberapa bentuk sama yang berulang-ulang.

Sesetengah kolektor Falcon juga suka memburu Falcon yang diperbuat di US (hanya tertulis “Falcon” sahaja) kerana keluaran itu hanya terhad kepada tempoh operasi fasiliti pembuatan pipa Falcon di US pasca 1960an dan mungkin sedikit sukar untuk ditemui hari ini. Bagi pengkaji sejarah atau pemipa yang meminati Falcon, tentunya amat menggembirakan untuk memiliki Falcon keluaran kedua-dua negara yakni US dan England kerana ia tentunya akan melengkapkan koleksi pipa Falcon mereka.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga sebilangan Falcon “die hard fans” yang menyadurkan emas, perak atau bahan lain ke atas anodized aluminum badan Falcon mereka! Ini semua sudah tentu menjurus kepada minat dan penggayaan, demi kelainan dari segi rupabentuk dan peningkatan tahap kolektiviti Falcon itu sendiri. Jika terdapat sebab-sebab tambahan seperti untuk penyejukan yang lebih menyeluruh atau penambahbaikan daya tahan permukaan Falcon mereka, ia tidaklah diketahui dan amatlah menarik untuk dikaji dengan lebih mendalam.

Satu masalah bagi pipa Falcon ini adalah ianya diperbuat dari aluminium. Sesetengah pemipa tidak menggemari besi atau material yang “inanimated”. Mereka merasakan yang kayu briar itu adalah “hidup”, penuh dengan grain atau birdseye dan kerana ianya dari pokok, ia lebih alami. Selain dari bowl, pipa Falcon mungkin tidak mempunyai banyak tarikan lain tetapi dari segi kualiti smoking yang mampu diberikannya, ia tidak diragukan. Walau apa pun preferensi kita, saya percaya adalah lebih baik untuk memiliki paling tidak satu pipa Falcon kerana harganya agak berpatutan (terutamanya yang estate) dan perbezaan dari segi material dan penjagaannya mampu memberikan satu dimensi perpipaan yang menarik buat semua.

Walaupun “appeal” dari pipa Falcon ini adalah minimum, sebagai seorang pemipa suatu hari nanti anda akan berevolusi dan mula menanam minat secara diam-diam terhadap pipa besi ini. Saya sendiri pernah terfikir akan betapa buruknya pipa Falcon ini sebelum ia menarik minat saya pada suatu hari yang damai. Penjagaan yang mudah, ringan, mampu milik dan keupayaannya untuk memberikan kualiti perpipaan yang kering dan baik adalah ciri-ciri utama untuk pipa “outdoor” yang tahan lasak, sekaligus menjadi faktor praktikal yang mengatasi faktor rupa luaran pipa jenis ini.




pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

2 Comments Add yours

  1. Yudho Hadianto says:

    Thanks info nya…..
    samakah Falcon dengan Robson…?
    sama sama England nya…….

    Liked by 1 person

    1. almoshah says:

      Trimas mas.
      Falcon dan Ronson (bukan Robson) tidak sama. Falcon asalnya dari US namun kemudian baru beralih operasinya ke U.K.
      Ronson sebenarnya adalah pembuat lighter dan hanya mengeluarkan pipe dalam kuantiti yang sedikit

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s