Balkan (Sobranie, Sasieni, Whatever…)

Balkan adalah sebuah rantau yang rumit jika kita melihatnya dari segala aspek. Sering dihantui oleh permulaan perang dunia pertama, penglibatan mereka di dalam pakatan Axis di dalam perang dunia kedua, dan ekonomi pasca-USSR yang tidak menentu, Balkan sebenarnya memiliki negara-negara yang kaya dengan tradisi setempat, penduduk yang berazam tinggi dan banjaran tanah gunung yang subur, dari pergunungan dimana nama Balkan itu diperolehi, yang mengunjur ke Black Sea. Secara geografinya, Balkan adalah pintu benua Eropah ke Asia yang sedikit sebanyak memberikannya etnografi yang agak berlainan dari kebanyakan negara Eropah lainnya. Ini menjadikan Balkan sebagai sebuah rantau yang sangat menarik, terutamanya di dalam konteks kultural mereka – termasuklah aspek blending tembakau itu sendiri.

Jika kita lihat balik akan definisi di dalam artikel lama “Asas Kepada Variasi Blend”, Balkan Blend adalah Blend yang berada di antara Blend English dan blend Oriental. Rumusan aslinya adalah virginia sebagai tembakau primer, latakia sebagai tembakau sekunder dan olahan daunan oriental untuk membekalkan “spices” yang memberikan blend ini flavor yang unik, lain dari standard blend English. Berkemungkinan besar pada ketika itu dunia sudah terbiasa dengan blend English, dan terma “Balkan” dapat memberikan satu kejutan eksotik kepada blend yang lebih “ambitious” dan bersifat eksplorasi ini. Siapa yang tidak sukakan rempahan dan spice, bukan? Bagi saya, ia kelihatan seperti sedikit pancaran mentari Budapest disebalik kesejukan dan kekelaman Britain yang mewakili blend English secara umumnya.

kredit imej : davidsbeenhere.com

Terlanjur berbicara tentang blend-blend Balkan, kita tidak boleh lari dari memperkatakan tentang Balkan Sobranie. Blend ini adalah sebuah legenda perpipaan yang sangat besar, selalu meniti dari bibir ke bibir setiap pemipa terutamanya apabila perbincangan mengenai blend-blend agung zaman dahulu berlangsung. Tidak ramai yang pernah merasai Balkan Sobranie yang asal namun mengikut cerita-cerita yang sering dikeutarakan, ianya adalah blend Balkan terhebat yang pernah mewarnai dunia perpipaan. Malah ia mungkin juga telah menenggelamkan blend-blend English yang tersohor seperti Levant Mixture, Nightcap dan lain-lain – sesuatu yang tidak logik boleh dilakukan oleh sebuah Blend dari genre yang kecil.

Bagi saya, Sobranie House yang bertanggungjawab mengeluarkan blend ini pada ketika itu tentunya melihat akan keperluan untuk keluar dari mentaliti English blend yang sudah sedia standard, mengambil kesempatan ke atas bekalan Yenidje yang mereka mampu perolehi pada waktu itu, dan terus mencipta sebuah formula blending yang sangat cemerlang sehingga ia menjadi sebuah blend Balkan “numero uno”. Bekalan Yenidje yang mereka ada pada ketika itu mungkin hanya satu consignment sahaja – cukup untuk mereka menghasilkan Balkan Sobranie selama empat ke lima tahun contohnya (siapa tahu? kerana varian Yenidje pada ketika itu sudah pun dikategorikan sebagai “rare”) akan tetapi impak blend ini kepada dunia pertembakauan adalah sangat besar. Sesiapa jua yang berada di belakang tabir Sobranie House yang tampil dengan blend Balkan Sobranie ini, mereka adalah sangat genius!

Dengan itu tidak hairanlah sebuah tin Balkan Sobranie yang masih utuh dan belum dibuka, dapat dijual pada harga yang sangat tinggi. Malah, tin kosong Balkan Sobranie itu sendiri sering di cari-cari, bakal menjadi sebuah komemoratif tobakiana terhebat bagi setiap pemipa yang berusaha mengumpulkan bahan-bahan sedemikian. Sedikit masa lalu, bukan sahaja tin tembakau pipa Balkan Sobranie malahan tin rokok Balkan Sobranie (yang cuba mempromosikan rokok oriental di kalangan perokok) turut menjadi buruan kolektor tobakiana. Boleh dikatakan, Balkan Sobranie telah berjaya di dalam usaha untuk meromantikakan keeksotikaan Balkan di dalam dunia perpipaan dan pertembakauan secara amnya.

Legasi Balkan Sobranie adalah terlalu kuat sehinggakan wujud blend pengganti yakni Balkan Sasieni. Namun, ia bukanlah suatu penggantian mutlak kerana komposisi tembakau yang digunakan oleh blend dari Scandinavian Tobacco Gallery ini tidak mengandungi Yenidje – varian tembakau oriental yang sangat penting yang ada di dalam Balkan Sobranie asal. Pengeluaran Yenidje adalah sangat terhad dan ia sudah pun dikategorikan sebagai “rare” sejak dari awal pengeluaran Balkan Sobranie itu sendiri. Menyedari yang mereka tidak memiliki komponen penting tersebut, Balkan Sasieni menekankan pula kepada daunan oriental yang mereka klasifikasikan sebagai “Macedonian” (apabila pengeluar tembakau gagal mengklasifikasikan tembakau komponen mereka dengan spesifik, maka saya akan merehatkan minda dari meneka-neka dengan lebih lanjut kerana sudah tentu mereka tidak tahu akan apa yang ada di dalam tembakau “Macedonian” ini – walaupun biasanya kita boleh kaitkan beberapa nama seperti Basma, Dubek atau Djebel, kesemuanya variasi Basma kultivasi Macedonia). Ia dibantu oleh tembakau asas old virginia (berkemungkinan maksudnya adalah virginia dari penanaman old belt – kelompok penanaman tertua dengan tanah merah yang subur disepanjang daerah Virginia dan North Carolina). Campuran latakia turut disertakan di dalam blending Balkan Sasieni untuk melengkapkan blending ini sebagai sebuah blend Balkan yang “proper”.

Balkan Sasieni sebenarnya adalah sebuah blend yang tidak kurang hebatnya. Saya pernah menulis mengenai Balkan Sasieni sedikit masa dahulu – ianya adalah representasi blend Balkan yang sangat baik. Akan tetapi penggunaan grafik tin yang iras kepada Balkan Sobranie menjemput perbandingan terus kepada blend legenda itu, sesuatu yang sepatutnya tidak berlaku dek kerana komposisi tembakau yang sedikit berbeza. Lagipun, Balkan Sasieni bukanlah dicipta untuk menggantikan Balkan Sobranie walaupun ada kemungkinan yang Balkan Sasieni cuba untuk meraih populariti melalui grafik tin yang seakan sama ini.

Beralih kembali kepada Balkan Sobranie, blend ini kemudianya mengalami beberapa “reincarnation” lagi, kali ini dikeluarkan oleh blending house lain (mungkin hanya pembelian hak keatas nama blend itu sendiri, atau mungkin tidak sekiranya Sobranie House tidak mematenkan blend mereka dahulu). Akan tetapi kehebatan blend asal Sobranie House masih gagal ditandingi dek kerana satu sebab yang kukuh – ketiadaan komposisi Yenidje. Daunan oriental sememangnya wujud di dalam Balkan Sobranie versi Germain & Sons, namun Yenidje tidak tersenarai sebagai salah satu komponen blendingnya.

Katakanlah kita hidup di dalam dunia optimis, pabila dodo masih berkeliaran di sana-sini, burung cenderawasih masih berkicauan di belakang rumah kita, dan varian tembakau-tembakau yang jarang dilihat seperti Yenidje, Katerini atau Xanthi masih mudah untuk didapatkan, adakah akan ada persoalan-persoalan yang bakal diacukan kepada blending-blending Balkan Sobranie yang baharu ini? Saya perkirakan pastinya masih ada. Disebalik masalah untuk mengekalkan komposisi tembakau, varian tembakau itu sendiri terdedah kepada kaedah blending dan ageing yang mungkin berlainan dengan apa yang ada pada tiga dekad yang lampau. Master blender dari Sobranie House itu sendiri sudah tentunya tidak lagi ada untuk mengemulasikan blend itu secara tepat, dan kita sedia maklum yang kaedah blending juga adalah sangat penting sepertimana komposisi blending. Sememangnya sukar untuk kita mendapatkan ketersamaan 100% ini akan tetapi fitrah manusia sememangnya suka untuk merindu dan mengenang akan perkara lama, yang berkemungkinan besar turut memainkan peranan yang penting di dalam pencarian pemipa sekarang kepada Balkan Sobranie.

Apa yang lebih sukar adalah perbandingan kedua-dua blend Balkan ini. Tidak ramai di antara kita yang berpeluang untuk menikmati Balkan Sobranie keluaran Sobranie House yang asal. Jadi, sememangnya tidak ramai yang dapat memberikan indikasi perbezaan di antara Balkan Sobranie dengan Balkan Sasieni. Yang ada hanyalah cerita dan dokumentasi dari pemipa-pemipa lama, yang kebanyakannya cenderung untuk memuja akan blend ini. Sememangnya mudah untuk menjadikan tembakau kultivasi terdahulu (Yenidje) sebagai penyebab kepada keutuhan blend. Akan tetapi, jangan pula kita lupa akan persekitaran suasana perpipaan pada ketika itu yang tidak sepertimana kita pada ketika ini, dimanjakan dengan kepelbagaian blend dan genre dari segenap blending house. Dek kerana itulah, ada kemungkinan Balkan Sobranie dipuja-puja hanya kerana tidak banyak saingan untuknya pada ketika itu.

Mungkin, suatu ketika nanti kita akan membicarakan tentang McClelland 221b Arcadia dan jika ada blend baru yang cuba untuk mengemulasikan blend siri komemoratif Sherlock Holmes ini, saya perkirakan yang saya masih mampu untuk memberikan perbezaan blend secara khusus. Itu hanya berlaku kerana keterbiasaan saya dengan blend Arcadia tersebut. Ini adalah agak berbeza dengan situasi yang kita ada sekarang, dimana kurangnya pemipa yang memiliki keterbiasaan terhadap blend Balkan Sobranie yang asal, sepertimana yang saya nyatakan tadi. Mengetahui kehebatannya hanya melalui jalan lisan, mudah untuk kita teragung-agungkan akan sesuatu yang kita tidak tahu.

Walau bagaimanapun, pepatah Melayu lama ada mengatakan “jika tiada angin, masakan pokok boleh bergoyang”. Sukar untuk tidak mendengar nama Balkan Sobranie disebut-sebut sekiranya blend-blend tembakau pipa terbaik diperbincangkan. Kualiti, kredibiliti dan legasi Balkan Sobranie sudah pun melangkaui masa dan ketika, satu pencapaian tinggi yang juga bertanggungjawab di dalam mempopularkan sebuah genre kecil ke kancah dunia pertembakauan moden.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

2 thoughts on “Balkan (Sobranie, Sasieni, Whatever…)

  1. Assalammualaikum prof. Terasa menyesal tidak menyimpan tembakau-tembakau lama yang pasti suatu hari nanti akan pupus. Kita mengharapkan ada blending tembakau yang enak dan terus ada penawarannya di pasaran.
    Terima kasih prof atas sumbangan penulisan.

    Like

    1. Wassalam cikgu Joe…
      Yes saya pun menyesal cikgu Joe sebab x sempat nak hoard banyak blend especially McClelland punya. Sekarang under deeming act, banyak rintangan yang blending house hadapi so tu yang ramai mau angkat kaki tu…

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s