“The Castello Compendium” – Bahagian I – Sejarah & Perkembangan Castello

Masihkah anda ingat kepada filem James Bond “Casino Royale”?

Di dalam babak akhir yang menemukan Bond dengan Mr White di sebuah vila yang indah di pesisir tasik, Lake Como Itali adalah lokasi penggambaran tersebut. Pada masa yang sama, tidak jauh dari situ, beberapa bongkah briar sedang diperhalusi, di”stamp” logo sebuah castle dan diberikan nama “Castello”…

imej dari movieplacepicture.com
Castello telah berpusat di Cantù sejak dari 1947 di mana pengasas Carlo Scotti telah mengumpulkan 6 artisan pembuat pipa tempatan untuk berkarya di bawah satu bumbung. Sebelum itu, Scotti sendiri turut menghasilkan pipa-pipa bersaiz mega dan menjualnya di beberapa tobakonis di Switzerland, dengan sambutan yang agak dingin. Apabila beliau pulang dari sana selepas perang dunia ke-2, Scotti mendapati yang senario pembuatan pipa Itali pada masa itu bersifat lebih kepada penghasilan pipa-pipa yang murah dan cepat, dengan bentuk-bentuk tradisional yang sama dan tidak “inspiring”, dek kerana pengeluaran pra dan pasca perang yang menghasilkan jutaan pipa setahun dan kebanyakannya diperuntukkan untuk para perajurit di medan pertempuran. Hal sebegini menyebabkan tumpuan pada kualiti adalah tidak munasabah sama sekali. Beliau bertekad mahukan sesuatu yang lain dari pendekatan “mass production” sebegitu.

Setiap perkara yang penting pastinya bermula dengan sebuah nama yang memberikan signifikasi yang mendalam. Scotti mahukan sebuah nama yang mudah dikenali dan tidak asing bukan sekadar di Itali sahaja tetapi di sekitar Eropah, jadi nama “Castello” yang membawa maksud “castle” atau istana di dalam bahasa Inggeris adalah sangat bersesuaian – ia juga sangat dekat dengan bahasa Sepanyol (Castillo) dan Portugis (Castelo). Ini bermakna Scotti dari awal lagi sudah mensasarkan untuk pipa Castello menembusi pasaran luar Itali, satu cita-cita yang bakal menjadi bukan setakat kenyataan, malah jauh lebih baik daripada itu!

imej dari pipacastello.com
Walaupun begitu, segalanya bukanlah boleh menjadi kenyataan dengan begitu mudah. Castello juga perlu melalui onak dan duri tersendiri pada peringkat awalnya, di mana walaupun mereka berjaya mendapat sambutan pelanggan tempatan terutamanya keluaran awal dari Scotti iaitu siri “Mi Reserva”, dunia luar bagaikan tidak menyedari kehadiran mereka. Tanpa strategi pemasaran yang baik, adalah agak mustahil untuk Castello menembusi pasaran dunia. Akan tetapi nasib memang menyebelahi Scotti pada ketika itu apabila Wally Frank, seorang pengimport pipa dari USA yang secara kebetulan datang ke Itali untuk membeli pipa yang akan dipasarkan di negaranya, diberitahu mengenai Castello dan cukup berminat untuk melawat bengkel Castello. Tidak lama kemudian kata sepakat dicapai antara mereka berdua dan pipa Castello pun mulai dipasarkan di USA.

Pengaturan masa pipa Castello ini memasuki pasaran US juga adalah satu keajaibannya yang tersendiri, kerana kebetulan pula pada ketika itu produk Itali mula bersinar di Amerika terutamanya di dalam industri fesyen; kegilaan terhadap sut Armani dan butik-butik “superbrands” Itali seperti Gucci etc sudah mula bertapak di sana, membuatkan persepsi Amerika terhadap produk Itali berada di tahap yang tinggi. Ketika itu juga lah penggunaan “diamond” sebagai logo untuk Castello pasaran US mula digunakan (kerana logo “white bar” sudah pun digunakan dan dipaten oleh jenama lain). Kehadiran briar-briar bersaiz besar, dengan grain yang sangat indah dan imej “100% handmade” yakni satu usaha dan hasil seni seorang artisan yang melarik pipa dari sebuah blok briar yang kasar sehingga ia siap, membuatkan pemipa dan kolektor US yang sudah terbiasa dengan pipa keluaran industri tidak ragu-ragu lagi untuk mendapatkan Castello sehinggakan ianya habis terjual dalam masa yang sangat singkat.

imej dari smokingpipes.com
Tidak lama kemudian demam Castello pun melanda USA, dengan dikhabarkan pada kemuncaknya pipa Castello tidak sempat diletakkkan di dalam “display” di kedai-kedai tobakonis – ia sudah pun ditempah dan senarai menunggu tempahan juga adalah sangat panjang! Dengan permintaan yang memuncak, Castello memiliki keupayaan untuk “push production” dan mempercepatkan penghasilan pipa-pipa mereka tetapi Scotti tetap berpegang kepada janji kualiti yang diterapkan, tanpa sedikit pun ruang untuk kompromi. Scotti sangat yakin yang mengejar “push production” adalah tidak sejajar dengan etika dan janji kualiti Castello dan oleh kerana itulah “brand prestige” Castello masih lagi kekal sehinggalah ke hari ini. 

Tidak dinafikan juga akan pendekatan baru yang segar dari Castello terhadap bentuk-bentuk pipa tradisional juga memainkan peranan yang penting di dalam dominasi pipa mereka di USA. Walaupun penghasilan awal pipa-pipa Castello adalah berteraskan bentuk-bentuk tradisional seperti apa yang diusahakan oleh Dunhill dan Charatan, pendekatan artisanal Carlo Scotti dan “Italianesque flair” yang dapat dikesan dari seni zaman renaissance (yang memang jelas terpampang di dalam senibina bangunan dan fountain di tengah-tengah bandar mereka, walaupun bandar kecil!) menyebabkan dengan mudah pipa keluaran Castello berubah kepada karya seni yang masih mengekalkan shape-shape tradisional, tetapi dengan “flow & lines” yang lebih bebas, lebih seksi dan lebih organik. Ini menjadi satu “appeal” yang sangat menarik terutamanya di waktu pasca perang, dimana bentuk-bentuk pipa tradisional yang praktikal terdahulunya mulai kelihatan membosankan dan banal.

imej dari marcoreggi.it
Dengan unjuran grain yang cantik dan padat blok-blok briar “top grade” dari Corsican dan kemudiannya Legurian, agak mudah untuk briar-briar Itali ini menarik mata pencinta pipa Amerika yang lebih terdedah kepada pipa-pipa British pada mulanya. Hal ini juga dikuatkan lagi dengan obsesi Scotti kepada kualiti – beliau memastikan hanya briar-briar dari gred yang terbaik sahaja yang diperolehi untuk pipa-pipa Castello. Integrasi sebegini menjadikan Castello sangat popular – kerana mereka hanya menggunakan briar terbaik dan mampu untuk menyimpan sebegitu banyak stok briar di bengkel mereka – setiap satunya melalui proses “air curing”, jauh dari cahaya matahari dan lembapan sehinggalah ia betul-betul matang selepas satu dekad berlalu.

Peperangan adalah satu peristiwa yang walaupun pahit, sebenarnya sangat membantu dalam melonjakkan daya kreativiti kepada umat manusia. Telegraf, teknologi atom, radar dan sebagainya berevolusi dek kerana peperangan. Begitu jua halnya dengan teknologi kepenggunaan. Jika Peterson memperkenalkan kemasan Spigot kepada pemipa hasil dari idea perajurit yang memperbaiki shank pipa mereka yang retak dengan kelongsong peluru dek kerana kelasakan di medan perang, Castello pula memainkan peranan yang sama besar dengan membawa masuk bahan akrilik di dalam dunia perpipaan. Sebelum itu, vulcanite adalah bahan utama untuk stem pipa dan Carlo Scotti, menjadi seorang “gentlemen” yang diakui oleh ramai pipemakers yang pernah bekerja dengannya, tentu tidak mahu stem pipa keluarannya berwarna kusam, pudar dan dinaiki oksidasi. Bahan lucite yang diperkenalkan Castello menjamin stem pipa kekal berada di dalam keadaan senantiasa berkilat dan “maintenance-free”, yang sekarang digunapakai oleh mungkin 75% pengeluar pipa sedunia.

Pendekatan artisanal Carlo Scotti juga bukan setakat memberikan satu revolusi baru kepada industri pembuatan pipa Itali, ia juga melahirkan ramai artisan yang kemudiannya membentuk jenama sendiri selepas berkhidmat di bengkel Castello. Antara nama-nama yang terkenal adalah seperti Luigi Radice dan Giuseppe “Peppino” Ascorti yang keluar dan membentuk jenama Caminetto, sehingga masing-masing mengambil haluan sendiri dengan jenama Radice dan Ascorti. Bukan itu sahaja, beberapa artisan lain seperti Baldo Baldi juga bermula dengan mengukir beberapa blok briar dari bengkel Castello dan terus mengorak langkah semenjak dari itu. Begitulah besarnya pengaruh Castello di dalam “renaissance” dunia perpipaan Itali yang masih kekal sehingga kini.

Kedatangan Franco Coppo, yang mengahwini anak perempuan Scotti Savina pada awal 80an, adalah satu rahmat buat Castello. Coppo kemudiannya turut mengemudi legasi Castello dengan sangat baik sekali. Pengkelasan pipa-pipa Castello diperkemaskan lagi dengan insignia “K” (yang kemudiannya ditukar ke aksara kecil “k” di dalam gelungan) untuk menggred saiz bagi siri Old Antiquari ke bawah. Ia juga turut digunakan untuk menggred unjuran grain bagi siri Trademark ke atas. Ini menggantikan sistem SA-SS untuk penggredan saiz bagi pipa Castello. Coppo yang lebih mesra dikenali sebagai “Kino” itu tentunya sangat memahami akan signifikasi “dating” di dalam pengkoleksian sesebuah jenama pipa, jadi penggunaan logo ikonik “castle” dengan nombor di bahagian bawah logo diperkenalkan pada 1987. Kino sangat menitip-beratkan konsep “dating” untuk sesebuah pipa Castello dimana kita boleh mengetahui pada tahun mana sesebuah pipa Castello itu diperbuat. Perkara ini ternyata telah mempertingkatkan lagi tahap kolektiviti sesebuah pipa Castello, sepertimana Dunhill dengan konsep “birth year” mereka.

imej dari smokingpipes.com
Dunia perpipaan bersedih pada 1992 dengan pemergian Scotti dari dunia yang fana ini, meninggalkan di belakangnya satu legasi yang besar dan jenama yang bersifat “cult status”. Kino kemudiannya mengambil-alih teraju firma pipa artisan Itali ini dan meneruskan legasi yang telah diterapkan oleh Scotti selama hampir setengah abad yang lalu. Antara pembaharuan yang ketara dibawa oleh Kino adalah “Castello Flame” yang mula dikeluarkan sejak tahun 2000. Walaupun percubaan mengenai design “flame” ini telah lama diterapkan oleh Castello dan Scotti sebelumnya, Kino telah berjaya merealisasikan impian ini dengan sangat baik sekali. Sehingga ke hari ini, dikatakan hanya seorang artisan sahaja yang memiliki kepakaran terbaik dalam menghasilkan ukiran api di pipa-pipa terpilih ini, yang hanya dikeluarkan pada kuantiti yang sangat terhad.

Kini Castello kekal sebagai “gold standard” kepada pipa-pipa keluaran Itali. Status penjenamaannya adalah setaraf dengan pipa Dunhill, atau mungkin lebih tinggi lagi dengan ramai pemipa yang tidak ragu-ragu untuk menceritakan tentang “smoking qualities” yang mereka dapat dari sesebuah pipa Castello, disamping kualiti kemasan luaran dan penggunaan briar “top grade” yang sudah menerima proses “curing” sebaik mungkin.

Sama ada sebagai konduit untuk menikmati tembakau atau sebuah koleksi karya seni yang cantik dan bergaya, setiap pipa Castello mampu memberikan anda kedua-dua dimensi tersebut tanpa mengira sama ada yang berkondisi baru, estate atau yang telah lama dihasilkan.



pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

2 Comments Add yours

  1. Khairul says:

    Pasat dengan infornasi

    Liked by 1 person

    1. almoshah says:

      Tq bro…informasi tentang Castello memang tak sebanyak Dunhill atau Peterson, dan hopefully saya dapat menambah sedikit sebanyak berdasarkan pembacaan dan pengalaman saya sendiri tentang brand hebat ini 👌

      Like

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s