Tahap penerimaan latakia seseorang pemipa itu adalah berbeza. Banyak yang bermula dengan aromatik, kemudian berjinak dengan virginia, va/per, English, oriental dan seterusnya. Ini adalah kitaran asas yang umum dirasai semua pemipa, walaupun ada yang mungkin terjun seperti dari aromatik terus ke English, kemudian balik ke full virginia dan bermacam lagi.
Tidak kurang juga pemipa-pemipa yang datang melalui “pintu belakang” – biasanya golongan yang sudah berjinak dengan cerut atau mereka dengan “seasoned palate” – bermula mengenal pipa dengan English dan oriental blends. Lama-kelamaan mereka akan menelusuri juga full virginia dan va/per namun ada sesetengah yang tidak mahu menyentuh aromatik langsung.
“Seasoned” atau tidak, latakia merupakan satu anugerah besar buat dunia perpipaan dan lama-kelamaan seseorang pemipa akan berhadapan dengan “lat-bomb”. Apakah itu “lat-bomb”? Perlukah pemipa risau akan cetusan “lat-bomb” ini?

“Lat-bomb” adalah satu slang dari perkataan “latakia bomb” yang sebenarnya merujuk kepada penggunaan tembakau latakia secara berlebihan di dalam adunan sesebuah blend, yang biasanya adalah blend English. Di dalam bahasa Melayunya tentulah ia diterjemahkan sebagai “bom latakia”. Yang jelas, ia membawa maksud akan keadaan sesebuah blend yang memiliki kadar peratusan kandungan latakia yang tinggi – jauh lebih tinggi dari blend English yang biasa.
Secara puratanya, campuran tembakau latakia di dalam sesebuah blend English adalah di antara 10%-40%. Komposisi blend English memerlukan tembakau virginia sebagai tembakau primer / tembakau asas yang harus lebih dari tembakau sekunder yakni tembakau latakia jadi kadar peratusan tadi adalah normal. Namun, seperti biasa fitrah manusia yang tidak pernah cukup akan membengkokkan garis panduan dan kreasi-kreasi baru pun senantiasa tercipta. Begitulah halnya dengan English blend – penerimaan dunia yang baik terhadap blend ini hanya menyebabkan percambahan blend yang lebih kritis lagi!
Jika kita mahu melihat kepada kadar peratusan latakia yang tinggi sebagai kayu pengukur “lat bomb”, terdapat beberapa blend khusus yang jatuh di dalam kategori ini. Terdapat beberapa blender yang suka untuk meletakkan jumlah latakia pada kadar yang lebih banyak, seperti 50%, 60%, 70% dan seterusnya. Setakat ini yang paling banyak peratusan latakia di dalam blend adalah Cornell & Diehl Pirate Kake, yang dikatakan terdiri dari 70%-75% latakia!
Secara seriusnya saya tidak pasti akan efek kekurangan tembakau virginia sebagai tembakau asas blend kepada blend dengan komposisi seperti ini. Namun, ia ternyata digemari ramai dan jika anda melihatnya terjual di kedai-kedai, jangan lepaskan peluang untuk mencubanya!
Seterusnya adalah Samuel Gawith Commonwealth Mixture yang menggunakan 50:50 ratio latakia dan virginia, yang mungkin agak “balanced” walaupun masih jatuh di dalam kategori “lat bomb”. Selain dari itu Savinelli English Mixture dan Comoy’s Cask no. 1 “Double English” juga dikatakan mempunyai kadar campuran latakia yang banyak tetapi sayangnya peratusan sebenar komposisi blend tidak didedahkan oleh blender masing-masing.
Melihat kepada blend-blend yang tersenarai tadi membuatkan kita terfikir “Ah, bagaimana pula dengan Dunhill Nightcap?”. Di sinilah saya merasakan yang kuantiti latakia sahaja tidak seharusnya menjamin sesebuah blend itu adalah “lat bomb” yang baik. Ternyata definisi “lat bomb” telah diperkecilkan skopnya dengan hanya melihat kepada kuantiti sahaja. Masih banyak faktor keampuhan sesebuah “lat bomb” yang perlu kita ambil kira sebelum kita melabelkan sesuatu begitu sahaja.
Apa yang kita perlu lihat juga adalah faktor hentaman nikotin / “nicotine hit” yang banyak bergantung kepada tembakau primer juga. Tembakau latakia sendiri memiliki kadar nikotin yang sangat rendah, maka penggunaan tembakau primer yang baik, dengan sedikit bantuan luaran (seperti contoh DTM’s Old Ironsides menggunakan sedikit burley di dalam mixture itu) akan dapat menggandakan hentaman nikotin dan menjadikan sesebuah blend itu sebagai “lat bomb” yang memiliki “umph” yang setanding dengan namanya.
Semestinya definisi “lat bomb” adalah lebih dari sekadar peratusan latakia di dalam sesebuah blend. Kemajuan blending tembakau ala-artisanal seperti yang dipelopori oleh G.L Pease menghasilkan beberapa blend “lat bomb” moden yang agak sofistikated tanpa memerlukan jumlah latakia secara obsesif, sepertimana yang beliau tonjolkan di dalam blend-blend seperti Gaslight dan Lagonda. Ia juga membuktikan yang “lat bomb” mampu untuk membawa kompleksiti rasa dan bukan hanya sekadar mengepam latakia ke mulut kita sahaja.
Sudah tentu pemipa yang meminati blend English dan tembakau latakia akan teruja dan teringin untuk mencuba blend-blend “lat bomb” ini dan diharap artikel ini dapat membantu mencadangkan sedikit sebanyak blend-blend yang bercirikan sedemikian di sepanjang perbincangan kita. Kita boleh berharap yang kemunculan banyak blending house dan pendekatan blending tembakau yang lebih kepada artisanal dan “small batch” sebegini akan melahirkan lebih banyak “lat bomb” yang dapat mencabar palate dan minda kita.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!