Siri “Berdamping Dengan Blend” – English


Ini adalah siri ke-empat (selepas aromatik, va/per, dan full virginia) yang menampilkan genre blend yang kita semua sudah sedia maklum. Cuma kali ini genre yang dibincangkan adalah genre yang sangat unik dan diminati ramai – blend English.

Sewajarnya sebelum bermula, kita perlu faham akan apakah peratusan komposisi sesebuah blend English? Apa yang menjadikan sesebuah blend itu English dan apakah sempadannya dengan blend terdekat iaitu blend Balkan? Walaupun pengkelasan blend sekarang adalah agak longgar dan bercelaru dek kerana sikap kurang berhati-hati dan kurang bertanggungjawabnya sesetengah blender tembakau, kita sebagai tembakau enthusiast perlulah lebih prihatin.

Apa yang diklasifikasikan sebagai blend English adalah campuran antara tembakau primer virginia sebagai asas dengan tembakau latakia sebagai “perisa” nya. Campuran latakia ini boleh datang dari sekecil 1% hinggalah ke peratusan popular iaitu 20%-30%. 
Jika kita mahu mengambil kira pendekatan blend yang agak ortodoks, sememangnya blend English tidak boleh dicampur dengan tembakau lain selain dari virginia dan latakia. 

kadar peratusan latakia ke dalam sesebuah English blend seharusnya dicatat oleh pengeluar namun mungkin kerana menjaga “resepi” blend maka blender selalunya tidak mempamerkan komposisi sebenar blend

Pendekatan purists ini tentunya mendapat sedikit olahan di sana-sini dan seterusnya kita menyaksikan yang sedikit daunan oriental ditambah di dalam blend English. Lebih kepada “perisa tambahan”, campuran daun oriental di dalam setiap blend English dianggap sebagai tambahan “umami” dan memperisakan blend English itu lagi, sepertimana campuran ajinomoto di dalam masakan kita.

Campuran tembakau oriental di dalam blend English menjadi popular sehinggakan majoriti blend English memiliki struktur sebegini maka perbezaan antara blend English dengan blend Balkan hanya boleh diklasifikasikan melalui kadar penggunaan tembakau orientalnya. Jika komposisi tembakau latakia adalah lebih dari tembakau oriental maka blend itu adalah blend English dan jika komposisi tembakau oriental adalah lebih berbanding latakia, maka blend itu dikategorikan sebagai blend Balkan.

Struktur ini kekal sama dan walaupun penggunaannya agak longgar – ditambah lagi dengan keadaan sekarang di mana tembakau latakia itu sendiri adalah daunan oriental (Cyprian latakia). Tidak dinafikan akan benarnya satu tanggapan bahawa blend Balkan juga adalah tercipta ekoran keterbiasaan para blender untuk menyelitkan sedikit daunan oriental di dalam blend English mereka, demi menjimatkan penggunaan Syrian latakia yang sudah semakin genting keadaan bekalannya pada ketika itu.

faktor kekurangan bahan utama seperti contoh keberadaan Syrian latakia untuk the Solent Mixture ini adalah punca kenapa pengeluarannya terpaksa diberhentikan walaupun ia mendapat sambutan yang amat menggalakkan

Diterima ramai di seluruh dunia, blend English juga memiliki beberapa dimensinya sendiri seperti prinsip “latakia-bomb” atau lebih mudah diletakkan sebagai “lat-bomb”. Ciri-ciri penting bagi sesebuah blend English yang dikatakan “lat-bomb” adalah penggunaan tembakau latakia secara banyak. Blend-blend sebegini senantiasa dikaitkan dengan struktur mixture yang bersifat “heavy” dan rasa latakia yang sangat “intense”. Intensifikasi rasa latakia sememangnya bergantung kepada kadar campuran latakia itu tadi, tetapi struktur tembakau seperti “full bodied”, “heavy” atau dipenuhi nikotin “hits” itu semua sebenarnya lebih bergantung kepada tembakau primer yakni virginia. 

Oleh kerana itu, janganlah kita terkejut jika kita mendapati blend-blend yang mengaspirasikan “lat-bomb” seperti Dunhill Nightcap, Savinelli English Mixture, DTM’s Old Ironsides dan Samuel Gawith’s Commonwealth Mixture menggunakan beberapa daun lain seperti burley, Kentucky dan malahan perique demi untuk merealisasikan impian kita pemipa yang mahukan lebih “kick” dan lebih nikotin dari blend- blend yang kita labelkan sebagai “lat-bomb” ini – akan kita bincangkan perihal “lat-bomb” dengan lebih lanjut lagi pada minggu hadapan.

Berbalik kepada asal kepada nama kategori “English blend” ini, ia adalah agak jelas. British merupakan pengguna tembakau secara ekskusif dan ia bermula sejak dari zaman perluasan empayar dan penerokaan “New World” lagi (yang kemudiannya dikenali sebagai benua Amerika). Penjelajahan yang bersifat pencarian sumber mentah dari dunia-dunia luar Eropah adalah sengit pada ketika itu. British disaingi hebat oleh Portugal, Belanda dan Sepanyol dan sepertimana Sepanyol menemui tembakau dan mengungguli dunia cerut / cigar, British juga menemui tembakau dan pipa adalah cara penggunaan tembakau yang lebih popular bagi mereka.

kita pemipa boleh berbangga akan kewujudan blend-blend English yang sememangnya tercipta untuk pemipa sahaja – tiada English blend untuk rokok mahupun cerut

Yang paling menarik tentang blend English ini adalah ekslusivitinya yang hanya ada untuk pemipa – tidak ada rokok mahupun cerut yang berperisa “English”. Kita masih boleh lagi menikmati rasa “full-flavor” burley melalui rokok Lucky Strike, keenakan “full bodied” virginia dari rokok Dunhill King Size (Dunhill merah) tetapi latakia secara amnya dan English blend secara khususnya hanya boleh didapati melalui tembakau-tembakau pipa. Tekstur rasanya yang “earthy”, “leathery”, “creamy” dan “swampy”, ditambah pula dengan flavor-flavor identik English blend seperti BBQ, daging salai, rempahan dan perapan panggang adalah sangat ekslusif untuk tembakau pipa. Perkara yang paling hampir dengan tekstur rasa sebegini dari luar tembakau pipa adalah tembakau maduro untuk cerut, yang juga sangat “earthy” dan sedikit “leathery” tetapi dimensinya adalah agak berlainan.

Di pasaran kita ini, beberapa blend English menonjol dan diminati ramai seperti Dunhill My Mixture 965, Dunhill Nightcap, Rattray’s Red Rapparee, Samuel Gawith Squadron Leader, dan Peterson Old Dublin. Mujurlah blend-blend ini masih ada dan mudah didapati, tidak seperti dua blend legenda Ashton Artisan Blend dan MacBaren Solent Mixture yang keberadaannya sudah tidak menentu lagi. 

Tidak lama kemudian datang beberapa blend English baru yang agak menarik juga seperti Peterson Wild Atlantic, Comoy Cask No 1 (Double English), GL Pease Westminster, Drew Estate’s Meat Pie dan DTM Old Ironsides yang menambahkan lagi pilihan kepada pemipa kita yang sudah pun pening dengan apa yang ada. Namun bagi saya, lebih banyak pilihan adalah lebih baik – kerana setiap blend juga memiliki gubahan komposisi masing-masing dan semuanya memiliki karakteristik tersendiri.

dengan rasanya yang enak dan unik, blend-blend English dengan mudah menambat hati pemipa dan digemari oleh segenap lapisan pemipa juga, baik yang tua mahupun yang muda

Pada permulaan mengenali English blend ini mahu saja saya kategorikan ia sebagai “acquired taste” dek kerana rasa dan baunya yang agak “intense” mungkin memerlukan sedikit keterbiasaan. Namun lama-kelamaan saya dapati sememangnya majoriti pemipa adalah yang dari jenis “English blend smoker” jadi tidak salah kalau dikatakan yang English blend adalah blend paling popular untuk para pemipa.

Dengan itu, sebagai seorang pemipa yang peka dengan penawaran-penawaran sebegini kita tentunya sentiasa mahukan blend-blend English ini kekal di pasaran kita. Keberadaan blend-blend English yang baik adalah satu rahmat buat kita dan sekali-sekala melihat pembaharuan blend-blend bercirikan English adalah satu perkara yang sihat di dalam dunia perpipaan ini.



pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s