Asas Pemipa Pemula : “Tounge Bite” dan Penjelasannya
​
Sebagai pemipa pemula, mengalami “tongue bite” dan “tounge burn” adalah perkara yang hampir pasti berlaku pada beberapa minggu pertama berpipa. Mungkin sesetengah kita adalah sangat bertuah dan tidak pernah mengalami, tetapi kebanyakan pemipa tidak akan terlepas darinya. Saya sendiri turut mengalami “tounge bite” dan “tounge burn” pada hari ketiga berpipa. Setelah beberapa lama, barulah saya tahu yang saya mengalami “tounge burn” pada hari ketiga dan “tounge bite” pada beberapa bulan kemudian. Adakah anda tahu perbezaan antara keduanya?
jangan ambil mudah akan fenomena “tounge bite” ini kerana ia akan melimitasikan pilihan baccy anda
Terdapat banyak pendapat tentang “tounge bite” dan “tounge burn” ini, dan walaupun sebab musabab terjadinya kedua-dua kondisi ini adalah berbeza, ia masih merujuk kepada komplikasi lidah dan ketidakselesaan yang sama. Jadi, tidak hairanlah jika ada pemipa yang mengatakan kedua-dua “tongue bite” dan “tounge burn” itu adalah sama.
Ada yang mengatakan “tounge burn” adalah hasil dari kejadian “tounge bite” pada lidah pemipa, dan ada juga yang mengatakan yang hanya “tounge bite” wujud dan “tounge burn” adalah salah. Walau bagaimana sekali pun semua ini mahu didefinasikan, mungkin apabila kita mengalami sendiri masalah-masalah perpipaan sebegini dengan lidah kita, barulah kita boleh meletakkan ia di tempat yang sepatutnya.
“Tounge Bite” adalah satu keadaan malang dimana lidah pemipa dapat merasakan sakit seperti luka-luka kecil dan sedikit bisa-bisa. Ini adalah agak berbeza dengan “tounge burn” yang sebenarnya adalah keadaan lidah yang sudah sakit disebabkan terdedah kepada haba panas dari hisapan pipa secara berterusan. Menggunakan tembakau yang terlalu basah, packing yang terlalu ketat, kadar sedutan yang terlalu kuat dan beberapa faktor lagi merupakan punca utama “tounge burn”.. Kita akan lihat “tounge burn” dengan lebih lanjut pada minggu depan, tetapi sekarang marilah kita kembali kepada “tounge bite”.
burley selalu dikaitkan sebagai penyebab “tounge bite” tetapi adakah semua itu benar?
Suka untuk saya mengaitkan komposisi kimia yang berlaku di dalam mulut seseorang pemipa kepada masalah “tounge bite”, kerana dikatakan yang keadaan sesetengah tembakau yang agak beralkali (dengan nilai pH yang tinggi) menjadi pemacu kepada kejadian “tongue bite”. Mungkin kita boleh mengaitkan keadaan blend-blend burley yang agak beralkali (kurangnya kadar gula di dalam burley bermakna kuranglah kehadiran asid) sebagai pemangkin kepada “tounge bite” tetapi secara harfiahnya ia tidaklah semudah itu.
Sebagai contoh, saya masih mendapat “tounge bite” setiap kali menggunakan blend DTM Gold of Mysore, walaupun mengetahui yang blend tersebut tidak menggunakan burley didalamnya, dan virginia dari Mysore yang digunakan memiliki kadar gula yang agak tinggi. Juga, perkara yang sama berlaku pada blend Pipedose 66 (walaupun saya memang berkeinginan untuk membelinya kerana “design” tin nya yang menawan, saya terpaksa memendamkan hasrat itu disebabkan oleh baccynya yang menggigit setiap kali saya mencuba) dan beberapa blend aromatik dari Kohlhase & Kopp.mengapa Gold of Mysore yang sepatutnya memiliki kadar gula yang tinggi dan asidik ini masih menggigit saya, tidaklah saya mengerti…
Agak memeningkan apabila keadaan sebegini berlaku kepada kita pemipa, dimana sudah tentu ia akan menguburkan hasrat setiap pemipa untuk bebas menikmati setiap baccy pilihannya pada bila-bila masa yang ditentukan oleh mood pemipa itu sendiri. Kurangnya pemahaman terhadap fenomena “tongue bite” pada ketika itu menyebabkan saya sedikit hampa kerana terbelenggu oleh perasaan tidak mampu untuk menikmati blend-blend Kohlhase & Kopp lagi.
Ianya mengambil masa yang agak lama untuk memahami tindakbalas kimia sendiri. Secara amnya, kita akur akan tindakbalas badan kita dengan persekitaran dan material yang bersentuhan. Sebagai contoh, ada antara kita yang kulitnya naik gatal-gatal apabila mengenakan pakaian dari “combed cotton”, dan ada yang naik ruam kemerahan di bibir apabila memakan udang galah. Misteri alergi badan dengan persekitaran adalah satu variasi kemanusiaan yang menarik dan bersifat pengabdian diri (abdication) – kita mungkin mampu untuk menguasai, memiliki dan membeli tetapi seberani manakah kita boleh menjamin yang diri kita mampu untuk menikmati?
memasangkan baccy dengan minuman yang bersifat asidik seperti teh hijau sebegini adalah satu usaha untuk meminimumkam “tounge bite”
Antara remedi untuk mengelakkan “tounge bite” ini adalah memasangkan sesi perpipaan dengan minuman-minuman yang bersifat asidik seperti jus limau, kopi, black tea atau green tea. Secara saintifiknya, ia mungkin dapat meneutralkan sedikit kadar alkali sesebuah blend apabila asapnya memasuki mulut kita. Dengan penurunan kadar pH di situ, reaksi kimia yang menyebabkan “tounge bite” mungkin akan lebih lemah dan berkurangan.
Bagi saya, cara terbaik untuk mengelakkan “tongue bite” adalah untuk beralih kepada blend atau tembakau yang lebih selesa kepada lidah kita. Tiada gunanya memaksa diri untuk menerima sesuatu yang badan kita tidak mampu untuk menanganinya. Walaupun begitu, keadaan lidah kita sebenarnya mampu untuk berubah mengikut keadaan. Alergi kepada makanan mungkin adalah lebih serius dan sukar berubah dek kerana ia terpaksa melalui proses pencernaan yang melibatkan banyak faktor tetapi alergi kepada blend atau tembakau hanya melibatkan lidah dan palate, mungkin bersifat sementara dan memerlukan sedikit keterbiasaan lidah dan palate kita kepada tembakau itu.
bermacam cara boleh dicuba demi untuk mendapatkan rasa.dan flavor terbaik dari baccy anda, tanpa gangguan dari “tounge bite”
Tiada gunanya kita memaksa lidah kita menerima sesuatu yang tidak boleh diterimanya. Namun begitu jangan lah kita mudah mengalah, sekali sekala cubalah nyalakan baccy yang memberikan anda “tounge bite” tadi, hisap secara perlahan-lahan dan berhenti sekiranya “tounge bite” masih berlaku. Cuba juga dengan pipa yang berlainan, teknik packing yang berlainan, sela masa “prepping” yang berlainan malah mungkin dengan api yang berlainan (mancis, “lighter” atau “torch lighter”).
Tidak lama nanti pasti akan datang saat dimana anda mampu menikmati baccy tersebut dengan baik dan pada ketika itu nikmat berkat dari kesabaran anda adalah sangat berbaloi. Saya pernah menyatakan yang kebanyakan blend akan mengalami sedikit perubahan (yang selalunya positif) apabila diberi sedikit masa di atas rak (shelf time) jadi mungkin juga anda bakal mampu menikmati baccy-baccy yang bermasalah ini pada sedikit masa lagi. Apa yang perlu kita ada adalah semangat untuk rajin mencuba dan terus mencuba.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!