Apabila Rokok Mulai Menghampiri Pipa…

Rata-rata kita pemipa bermula dengan rokok. Ada yang sudah berjaya 100% bertukar kepada pipa (tahniah kepada mereka), ada yang masih 50-50 (godspeed kepada mereka) dan ada juga yang balik pula kepada rokok atau sebaliknya bertukar kepada vape.

Walau di tebing mana pun anda, perkara pokoknya kita semua sedia maklum akan perihal rokok; betapa banalnya tabiat itu, dan hanya berlandaskan kepada keperluan nikotin semata. Seperti yang pernah saya katakan sebelum ini, merokok bagi saya adalah seperti satu koma dalam sesebuah ayat – ianya penting untuk memberikan sedikit rehat pada struktur ayat, tidak mengubah maksud ayat secara dasarnya dan jika tiada pun, tatabahasa kita masih lagi betul. Berbanding pipa dimana bagi saya adalah seperti sebuah perenggan, ia memberikan kesegaran sebelum kita memasuki idea berikutnya dan tanpanya karangan akan menjadi kaku, keras dan tidak menarik untuk dibaca.

image
dua cara yang berbeza untuk menikmati tembakau, yang turut mengubah persepsi kita terhadap daunan ini

Oleh yang demikian, berdasarkan pengalaman kita semua, rokok hanyalah konduit kepada nikotin. Yang membezakan hanyalah jenama. Dunhill “merah” (King Size) mungkin lebih “kaw” atau sedikit berat berbanding Marlboro, Salem lebih terkenal dengan penawaran mentholnya dan sudah tentu juga Gudang Garam dan Sempoerna yang mengungguli rokok kretek. Tidak banyak yang boleh kita perkatakan tentang struktur rasa.

Oleh kerana itulah, perbezaan rasa bagi rokok ini adalah agak “one-dimensional”. Tidak pernah lagi saya melihat mana-mana perokok yang sanggup mempertahankan kualiti virginia Dunhill, kenikmatan “sun-cured burley” dari Pall Mall, atau keunikan “American blend” di dalam Lucky Strike. Malahan, kebanyakan kita mungkin langsung tidak tahu akan perbezaan jenis tembakau di antara jenama-jenama rokok ini!

Dari sudut inilah Dunhill bertindak untuk mengambil peluang terhadap keadaan “one-dimensional” tadi (Dunhill sememangnya agak kompeten di dalam strategi pemasaran sebegini). Penawaran barunya iaitu “Dunhill Mozambique” menampilkan penggunaan tembakau burley dari lokaliti khusus yakni dari negara Afrika itu sendiri. Dengan melabelkan keluaran ini sebagai “limited edition”, ia agak klise bagi kita namun saya tidaklah menafikan akan faktor keberadaan burley Mozambique yang mungkin secara amnya adalah agak terhad sekarang, atau mungkin Dunhill tidak bercadang untuk bermain dengan idea penawaran  tembakau burley secara lokaliti tertentu ini dengan lebih lama.

image
penggunaan Burley dari lokaliti tertentu sebegini adalah agak menarik, terutamanya kepada rokok yang selalunya tidak menampilkan kekhususan yang sebegitu

Dengan desakan kerja pejabat yang tidak memperuntukkan masa panjang untuk rehat dan ditambah dengan banyak mesyuarat-mesyuarat mengejut, saya sendiri tidak mampu untuk berpipa di dalam waktu kerja dan rokok adalah “your typical quick fix”. Oleh itu peluang untuk mencuba Dunhill Mozambique adalah sesuatu yang tidak akan saya lepaskan. Selepas menghabiskan dua kotak 20’s (yang mengambil masa hampir 2 minggu), boleh dikatakan yang flavor burleynya agak “refined” dan sedikit lembut berbanding Dunhill King Size standard (Dunhill “Merah”).

Secara jujur, saya juga mencuba rokok ini di dalam pipa demi semangat ingin tahu saya terhadap varian burley Mozambique yang digembar-gemburkan ini. Anda akan terkejut untuk melihat yang anda memerlukan 2 batang rokok untuk mencapai hanya setengah bowl pipa standard saiz 3 – jadi secara kasarnya satu pek hanya akan memberikan anda 4 ke 5 bowl kenikmatan berpipa – ia bukanlah satu jalan penyelesaian yang mesra-ekonomik buat anda.

image
sedikit eksperimentasi hasil dari keterujaan pemipa terhadap variasi tembakau rokok

Menggunakan clay bersaiz mini ini – ihsan sole distributor of Old German Clay Pipe, Mr Saiful Haizan (dari Malaysia Pipe Smoker Journal / MyPSJ), satu batang rokok sudah mencukupi untuk memenuhkan bowl clay yang agak kecil – sangat praktikal digunakan sebagai “tasting” pipe. Bukan sahaja kerana saiz, sifat pipa clay yang mampu memberikan rasa neutral mutlak kepada tembakau juga menyebabkan ianya adalah salah satu bahan terbaik untuk “tasting”, atau dapatkan sahaja bowl standard sebagai alternatif kepada pipa briar anda.

Dengan pipa clay ini, saya dapati Dunhill Mozambique adalah agak “full-flavored”, dengan sedikit bayangan beberapa blend Dunhill yang bersifat “top line” seperti De Luxe Navy Rolls. Juga, flavor virginia yang mungkin peratusannya adalah lebih kecil dari burley Mozambique tadi juga agak terserlah.

Retrohale juga memberikan sedikit “hint” daunan virginia di sebalik dominasi burley itu tadi, namun ianya agak memeritkan. Permainan palate adalah baik dan rasa “full-flavor” tadi dapat dikesan. Ia seakan satu percubaan Dunhill untuk mencipta tembakau ala “American blend” versi mereka sendiri, di mana sedikit selitan “bright leaf” dapat dirasai. Hal ini ada kelainannya dengan “American blend” asal yang dipelopori oleh Lucky Strikes dan Pall Mall, dimana dominasi burley lebih jelas dan rasa “buttery-nutty” lebih kuat.

image
tekstur rasa adalah lebih jelas dengan penggunaan pipa, berbanding digulung sebagai rokok

Sayugia itu, tahulah kita yang rokok masih boleh menjadi menarik di sebalik segala sekatan pemasaran dan pengiklanan ke atas mereka. Tetapi, sejauh manakah ia mampu berevolusi?  Persoalan wajib yang kita perlu lontarkan adalah berapa lama pengeluaran edisi berlokaliti seperti Dunhill Mozambique ini akan masih berjalan? Akan adakah nanti penawaran yang seakan serupa, sepertimana McClelland mampu berikan dengan siri Christmas Cheers saban tahun?

Terus terang saya katakan yang rokok tidak mengujakan saya, dan saya percaya mana-mana pemipa yang masih merokok sekali sekala juga tidak memberi banyak perhatian pun pada rokok. Namun, apabila datang keluaran sebegini yang mengenengahkan penggunaan tembakau berdasarkan lokaliti tertentu, jiwa kita pemipa akan bergolak dan perasaan ingin mencuba akan menebal.

image
mungkin sedikit masa lagi kita akan mendapati kebanyakan rokok juga menampilkan penggunaan tembakau khusus secara besar-besaran

Dari sinilah kita tahu yang kita bukannya ketagihan nikotin seperti seseorang yang ketagihan candu, sebaliknya kita agak teruja oleh daunan bangsawan iaitu tembakau; ralit diulit citra rasa yang pelbagai, dan lemah dengan penawaran-penawaran variasi bersemi yang senantiasa dibisikkan olehnya.

.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

w

Connecting to %s