Tembakau Kentucky mendapat jolokan nama kerana ciri-ciri kedaerahan: peratusan besar pengeluarannya adalah di daerah Kentucky, US. Walaupun di negara kita Kentucky hanya terkenal dengan ayam gorengnya, daerah itu sendiri sebenarnya merupakan sebuah negeri yang memang subur dimana sejenis rumpai bernama bluegrass hidup meluas di serata tempat. Disebalik itu, negeri yang turut terkenal dengan pembruan bourbon dan lumba kuda ini juga dikagumi dengan hasil tembakaunya.
Memiliki iklim separa Mediterranean, penanaman tembakau burley di serata Kentucky juga memiliki sedikit ciri-ciri kedaerahan yang berlainan, dimana burley dari crop Kentucky dikatakan memiliki kadar resin, fiber dan lemak tumbuhan yang tinggi. Walaupun secara saintifiknya ia tidak dikaji dengan lebih lanjut, namun bagi saya ini menyediakan ciri-ciri keistimewaan tembakau kentucky yang kita sedia maklum.
Selain dari perbezaan itu, komposisi tembakau kentucky adalah sangat jelas – ianya ialah burley. Walaupun bagaimanapun, cara ia diproses (ditambah pula dengan varian burley hasil tanaman di Kentucky seperti yang baru dibincangkan di atas) adalah pendorong utama pada kelainan rasa dan profil daun yang istimewa ini. Terkadang digelar “dark fired”, tembakau burley ini dicure secara salai ataupun fire cured dengan kayu-kayu tempatan seperti oak, maple atau hickory di dalam kebuk tertutup, sama seperti proses menyediakan latakia. Ini menyebabkan daun burley itu menyerap flavor-flavor dari kayu-kayu tersebut dan menjadikannya sedikit smoky, spicy dan keras, di sampling mengekalkan rasa nuttiness burley yang asal. Oleh kerana cuaca tempatan yang lebih humid dan kurang panas berbanding dengan di Virginia, proses fire-cured ini dapat dilakukan dengan baik di daerah Kentucky.
Globalisasi zaman ini menyaksikan terdapat juga sedikit produksi dark fired kentucky ini dari Afrika, dimana kesemua proses adalah sama tetapi perlu diingat yang faktor kesuburan tanah adalah berbeza (tanah di Kentucky jauh lebih subur) dan bahan mentah pembakaran untuk proses fire cured juga berbeza (kayu oak, hickory dan maple tidak terdapat di Afrika) memberikan sedikit kelainan pada rasa dan tekstur flavor kedua daun ini. Yang nyata, dark fired yang diusahakan di Kentucky adalah lebih keras, spicy dan kadar nikotin juga lebih tinggi.
Fakta yang lebih istimewa tentang tembakau kentucky ini ialah kadar nikotinnya. Boleh dikatakan kadar nikotin kentucky adalah yang tertinggi dan mampu membuatkan anda tersenyum puas. Ini kerana selepas proses pengeringan di dalam kebuk asap, pemeraman dedaun tembakau burley salai tadi mencetuskan perpecahan enzim protein lantas nikotin pada kadar yang tinggi terhasil. Namun awas, pengambilan tembakau kentucky yang berlebihan atau dengan perut kosong akan menyebabkan anda mengalami sindrom “bilik berpusing” atau spinning room – separa pening, separa khayal, dek kerana alunan full bodied dan hentaman nikotin (nicotine hit) yang agak padu.
Secara amnya, boleh dikatakan jarang-jarang sekali tembakau kentucky diambil secara 100%. Yang paling dekat pastinya MacBaren HH Bold Kentucky (dengan gabungan daun dark fired dari Kentucky dan Afrika) tetapi ia masih memiliki campuran virginia untuk mengurangkan kadar kekerasannya. Blend-blend dark fired kentucky terkenal seperti Orlik Dark Strong Kentucky, MacBaren HH Old Dark Fired, GL Pease’ Jackknife Plug dan Peter Heinrich’s Dark Strong Flake (tiada di Malaysia) pun masih menggunakan daun virginia dalam peratusan yang agak signifikan, walaupun blend-blend ini memang dikenali sebagai “dark fired powerhouse ” kerana tembakau primernya adalah kentucky. Jadi, boleh dikatakan bahawa penggunaan tembakau kentucky dengan peratusan kecil sebenarnya adalah lebih popular. Contoh blend-blend sebegini adalah Reiner Blend 51 (merah), Hearth & Home Black House, Peterson Irish Oak (ada di Malaysia), Cornell & Diehl Pennington Gap dan lain-lain.
Jelas sekali tembakau dark fired ini adalah jauh lebih berharga dari burley dimana sedikit tambahan proses kultivasi & penggunaan tanah yang optimum menghasilkan suatu variasi tembakau yang sangat menarik dan lain dari asalnya. Inilah antara faktor penting yang mewarnai konsumerisma tembakau, dimana adalah sangat merugikan dan tak masuk akal jika kita tidak sedikit “adventurous”: mengambil peluang untuk mencuba setiap varian yang ada dan memahami aspek kepelbagaian flavor dan perisa serta apakah yang mendukung kepelbagaian itu.
Akan datang harinya dimana saya akan pulang kerja kepenatan dan memerlukan tembakau dark fired kentucky – sepertimana kita perlukan aspirin ketika pening – untuk mengalami sedikit “room spinning” inisiatif dan tenggelam di dalam keindahannya.