International Pipe Smoking Day atau IPSD adalah satu hari yang ditunggu-tunggu oleh para pemipa sedunia. Berlangsung pada setiap 20 Februari, ini lah masanya di mana pemipa bergaul dengan komuniti pemipa setempat dan berkontemplasi tentang dunia perpipaan, membudayakan hobi mereka dan lain-lain hal yang berkaitan.
Sebagai seorang pemipa, anda dianugerahkan dengan pelbagai kesusahan hanya kerana secebis niat suci anda untuk menjadi seorang yang lebih budiman. Anda sentiasa menjadi perhatian – you’re the talk of the town, brothers and sisters… Apa sahaja yang anda lakukan bukanlah sekadar lepak kosong, membuang masa atau ikut-ikutan. Minda seorang pemipa mampu berfikiran lebih jauh dari itu dan apa yang anda lakukan ada matlamatnya, ada slogannya.
Begitulah apabila kita pemipa menyambut IPSD. Ini adalah hari yang istimewa buat pemipa. Sambutannya pun mesti ada matlamat tertentu. Jika tidak, apa yang membezakan IPSD dan pipemeet- pipemet atau temu-pipa yang lain? Ingat, kita pemipa adalah jauh lebih maju dan kompleks dari sekadar hisap rokok tengok bola di kedai-kedai mamak yang memperuntukkan skrin besar – itu sangat banal dan rasa seperti malam minggu yang “diprogramkan” untuk konsumerisma tanpa makna yang spesifik.
Justeru itu, izinkan saya menterjemah-bahasa akan misi International Pipe Smoking Day ini – “Untuk mengukuhkan ikatan pemipa sedunia di atas nama persahabatan, perasaan belas ihsan dan keamanan; juga untuk meraikan kecenderungan hobi bersama para pemipa merentasi semua sempadan.”
Ini adalah misi IPSD sedunia dan ketika kita berpesta meraikannya, butir-butir misi ini adalah satu landasan yang diikuti oleh para pemipa sedunia, walaupun dengan cara masing-masing.
Jadi, apa yang ada di sebalik kabut asap yang melitupi Serendah di BPCS semalam? Berpuluh-puluh jenis blend yang dibakar di dalam seratus lebih bowl dengan bermacam jenis shape dan material oleh pemipa dari seantero pelusuk negeri memang menjanjikan kepulan asap yang menarik, tetapi kita pemipa tahu matlamat kita adalah lebih dari itu.
Matlamat persahabatan tentunya perkara pertama yang dicapai. Kita ada wakil pemipa dari hampir semua kelab dan persatuan, semua bernaung di bawah MAMPOS dan berkongsi baccy, tamper dan gobek api / mancis bersama tanpa mengira logo persatuan masing-masing. Malahan, semua pihak berpeluang untuk menang cabutan bertuah!
Selain dari cabutan bertuah itu, kita juga ada bidaan amal malam tadi. Pemipa kita bukannya hanya tahu “enjoy” untuk keseronokan fraterniti sendiri sahaja. Tanggungjawab kepada masyarakat juga dititik-beratkan. Ini adalah pemikiran negara dunia kelas pertama yang telah pun kita capai, disebalik skeptikal dan sentimen masyarakat terhadap golongan kita ini.
Dan sudah tentu kita juga berkongsi minat yang mendalam terhadap pipa dan baccy – kita semua berkongsi cerita tentang pipa, baccy, aksesori, cigar dan RYO masing-masing. Kita berkontemplasi akan kecantikan seni penghasilan pipa dan kejuruteraannya, misteri tembakau dan pengalaman masing-masing tentang blend-blend. Dan bermacam lagi, semua berkisar di satu perkara pokok yang sama, tentang hobi berpipa yang sudah pun membudaya di kalangan kita sekarang.
Bukankah kita juga menjerit “Happy IPSD” sambil menjulang pipa masing-masing pada jam 3.30 am tatkala bergambar lewat tadi? Itulah fraterniti dan “brotherhood” perpipaan. Tanpa fraterniti sebegini, adakah anda terfikir untuk menjerit dan menjulang sesuatu pada jam 3.30 pagi berseorangan? Ya, mungkin jika anda di wad psikiatrik.
Jadi, di bawah satu lembayung yang sama, marilah kita berazam untuk menjadi seorang pemipa yang lebih budiman, lebih berkeazaman dan lebih bermatlamat. Hargai kesatuan ukhuwah yang kita ada sekarang dan semailah rasa bantu-membantu sesama kita. Sokong dan berilah keutamaan kepada perniagaan ahli-ahli fraterniti kita sendiri, kerana kita tahu datangnya kita dari kelompok yang sama.
Itulah yang saya jumpa di sebalik kabut asap pipa-pipa di BPCS Serendah semalam – satu pembudayaan yang ditradisikan untuk dilestarikan, sambil diselaputi kabus virginia, latakia, burley, oriental, perique, maduro, dan semois.
.
pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!