Talkin’ Bruyère : Keberlangsungan Briar Untuk Umat Manusia

Zaman milenium ini menyaksikan beberapa kehilangan drastik sumber bahan mentah, sesuatu yang dahulunya kita sangkakan akan senantiasa ada di samping kita. Sesungguhnya bahan alami sememangnya tidak akan kekal, dek kerana itu lah manusia berubah arah kepada penggunaan bahan sintetik. Walau bagaimanapun, bukan semua perkara boleh ditukar-ganti dengan bahan buatan manusia, tidak mengira secanggih mana pun teknologi yang melanda kita sekarang.

Perkara yang sama juga turut melanda dunia perpipaan kita. Saban tahun, kita mendengar akan penghentian pengeluaran sesebuah siri blending atau lebih teruk, penutupan terus sesebuah blending house itu sendiri. Yang paling ketara adalah pemergian McClelland dan akan tiba blend-blend Dunhill pula. Tembakau pun turut mengalami perkara yang sama – Syrian latakia sudah semakin sukar untuk didapatkan dan kita tidak akan tahu sampai bila kah perique atau oriental akan bertahan. Begitu jugalah perkara yang terjadi kepada briar, dimana briar Corsica sudah tidak dapat diperolehi lagi dan lain-lain lokaliti seperti Calabria, Sardinia, Liguria dan Grecian mulai digunakan.

kredit imej : heinemannpipes.com

Kehilangan briar adalah satu perkara yang tersedih yang mungkin akan berlaku suatu ketika nanti kepada kita pemipa. Mungkin kita dan anak-anak kita masih dapat melihat blok-blok briar mentah akan tetapi dapat kah cucu-cucu kita kelak? Hal ini adalah logik memandangkan briar adalah datang dari bahan natural – pokok Erica Arborea yang hidup meliar di kawasan Mediterranean, yang menuntut jenis tanah, iklim dan keadaan tertentu untuk menghasilkan bahagian umbut akar yang kita namakan briar ini.

Sememangnya keberadaan briar yang semakin berkurangan itu sendiri adalah satu kebimbangan global yang hanya diketahui dan dirisaukan oleh pengusaha-pengusaha briar dan para pipemakers sekarang. Hanya pokok Erica Arborea yang berusia lebih dari 40-50 tahun yang layak digunakan untuk proses penghasilan pipa dan ianya semakin pupus dari hari ke hari, dek kerana permintaan yang semakin meningkat. Erica Arborea juga bukanlah boleh ditanam semula seperti tebu atau jagung; jika pun ia boleh dilakukan, burl yang terhasil boleh dipersoalkan akan kualitinya kerana kondisi struktur tanah yang rumit dan keberlangsungan hidup yang mencabar memungkinkan burl-burl itu memiliki grain-grain yang cantik. Masakan ia mampu menjadi sedemikian jika ia ditanam di belakang dapur kita!

kredit imej : casapaola.com

Proses rawatan briar yang mengambil masa yang agak panjang juga turut menyebabkan bekalan briar yang sedia untuk diukir semakin berkurangan. Kita telah lihat dengan teliti di dalam siri-siri Talkin’ Bruyere yang lepas akan bagaimana rumit dan rencahnya proses-proses rawatan briar ini. Blok yang baru sampai dari pengeksport briar bukanlah boleh terus dikerjakan menjadi sebuah pipa begitu sahaja. Kebanyakan pipemakers akan menyimpan blok-blok ini buat satu jangkamasa yang panjang lagi dan ia mungkin hanya akan menjadi sebuah pipa keluarannya pada dua-tiga tahun yang akan datang. Jadi, para pipemaker juga harus mengambil-kira akan kitaran ini dan perlu untuk membina stok bagi blok briar untuk menjamin penghasilan pipa mereka buat beberapa tahun yang akan datang.

Selain dari permasalahan kekurangan briar yang semakin sukar menyamai permintaan dunia, terdapat juga masalah dari segi kultivasi briar itu sendiri. Kerja ini melibatkan banyak aktiviti rencah dan kotor, adalah sangat membebankan. Ini menyebabkan anak-anak muda kurang minat dalam meneruskan kerjaya mereka di sini, di mana mereka lebih seronok untuk ke bandar dan mencari kerja di sana. Menggali burl briar adalah perkara yang tidak “hype” untuk dilakukan, berbanding dengan kerja di opis dan kafe-kafe. Apatah lagi, ia melibatkan kerja-kerja berat seperti memotong pokok Erica Arborea tersebut, menggali burl itu keluar dari tanah, memikulnya balik ke sawmill dan aktiviti pemotongan dan rawatan selepas itu, jauh dari penyaman udara dan keglamoran kota.

kredit imej : ricerca radica (video) by Paolo Bettocchi

Kehilangan minat generasi muda terhadap kultivasi briar ini juga akan membawa kepada kesan yang mendalam kepada industri pipa pada kemudian harinya. Tanpa generasi pelapis sebegini, adalah sukar bagi penggali dan pencari briar sekarang untuk menurunkan ilmu dan kemahiran mereka. Ini akan menyebabkan satu gap atau jurang yang besar di dalam kultivasi ini dimana tanpa “hands-on” dan pembelajaran dari pemerhatian, generasi akan datang pastinya sukar untuk menuai briar yang baik sebagaimana ia masih dapat diperolehi sekarang.

Keberlangsungan bekalan briar adalah suatu kondisi yang kita pemipa sangat-sangat perlukan. Kita telah belajar dengan melihat apa yang selalu terjadi kepada bekalan tembakau dan sekatan-sekatan yang dialami olehnya yang semakin meningkat saban tahun. Kita tahu kita tidak memerlukan perkara yang sama berlaku terhadap bekalan briar pipa. Dan sebagai pemipa, kita hanya mampu berharap agar kelestarian pencarian burl briar dan bekalannya akan senantiasa terjaga dan terus wujud.

pack ’em, light ’em, and blow smoke rings outta ’em!

kredit imej header : thepipeguys.com

2 thoughts on “Talkin’ Bruyère : Keberlangsungan Briar Untuk Umat Manusia

  1. Assalammualaikum prof. Terima kasih atas penulisan. Mudah-mudahan akan ada usaha untuk mencari pengganti briar terutamanya dengan penggunaan kayu-kayu tempatan di Malaysia yang sekurang-kurangnya memenuhi sebahagian syarat atau ciri-ciri kayu briar.
    Terima kasih sekali lagi.
    Sekian.

    Like

    1. Wassalam Cikgu Joe…
      InshaAllah kalau ada kajian yang dilakukan saya percaya lambat laun mungkin akan dijumpai.

      Cuma anti klimaksnya adalah pergerakan anti-tembakau yang semakin memuncak kebelakangan ini, yang menutup peluang untuk usaha dari pihak kerajaan di dalam mengenalpasti potensi kesinambungan ini dan langkah-langkah seterusnya…

      Like

Leave a comment